

KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki dewasa cedera ringan dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan berhampiran Farley Supermarket, Bandar Riyal di sini, awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.17 tengah malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan dikerahkan ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, PBK I Gilbert Majem berkata, jentera bomba tiba di lokasi pada 12.29 tengah malam, kira-kira 11 kilometer dari balai.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah Perodua Bezza dan sebuah Mitsubishi Triton,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seorang mangsa lelaki dewasa yang merupakan pemandu Perodua Bezza masih berada di dalam kenderaan namun tidak tersepit.
“PKO bertindak membantu mengeluarkan mangsa dari kenderaan sebelum menyerahkannya kepada pihak ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, pemandu Mitsubishi Triton pula dilaporkan selamat dan berjaya keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan pihak bomba.
Operasi yang melibatkan lapan anggota itu turut dibantu sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS, dengan sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta APM.
Tambah beliau, pihak bomba turut menjalankan kerja pembersihan sisa kemalangan bagi memastikan keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 1.20 pagi.
Oleh Shikin Mahmud