KUCHING: Seorang lagi nelayan yang hilang selepas bot mereka karam di perairan Pulau Burong, di sini, masih gagal dikesan hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Chaloem Sonada, warga Thailand berusia 60-an, dihentikan pada 6 petang tadi selepas pasukan pencari tidak menemui sebarang petunjuk.
Sehingga kini, lima daripada enam nelayan warga asing itu ditemukan selamat selepas terapung beberapa hari di laut.
Mereka yang ditemui selamat dikenali sebagai Oeun Van, Khlok Sem dan Thy Ny warga Kemboja serta Andikah dan Irman warga Indonesia.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, SAR yang diatur gerak oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan disambung esok.
Beliau berkata, JBPM baru dimaklumkan berhubung kejadian itu, 6.35 pagi tadi.
Berikutan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya diarah ke Kompleks Maritim Tun Abang Salehuddin di Muara Tebas untuk menyertai SAR bersama APMM dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5.
Bot nelayan tempatan dengan enam kru warga asing itu bergerak dari jeti Tanjong Bako, di sini, pada 17 Disember lalu.
Pada 20 Disember, bot nelayan itu terputus hubungan dan dikhuatiri karam.
Pemilik bot iaitu warga tempatan membuat laporan mengenai insiden bot karam di Balai Polis Santubong, Isnin lalu.
Tiga kru iaitu Khlok Sem, Adikah dan Irman berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang lain di kedudukan 3.5 batu nautika di barat Pulau Burong pada pagi Isnin.
Pada hari sama, seorang lagi kru iaitu Thy Ny diselamatkan oleh sebuah kapal di Tanjung Po, Muara Tebas, namun kapal berkenaan yang dalam perjalanan ke Sibu terus membawa mangsa ke pelabuhan di Sibu.
Selepas dirujuk kepada APMM, mangsa kemudian diserahkan kepada PPM Sibu seterusnya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu untuk dibawa ke Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan sebelum dihantar ke Kuching untuk tindakan lanjut, semalam.
Sementara itu, mangsa kelima iaitu Oeun Van dijumpai selamat di kawasan Sungai Serpan Laut, Asajaya oleh nelayan tempatan di kawasan perairan Asajaya, 3.30 pagi semalam.