


KEMALANGAN sebuah kenderaan pacuan empat roda di Lebuh Raya Pan Borneo Simunjan-Serian di Kampung Ensebang Padang Billion, petang semalam. Foto: PGO Bomba Sarawak
SERIAN: Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton terbabas ke dalam longkang di Lebuh Raya Pan Borneo Simunjan-Serian di Kampung Ensebang Padang Billion, petang semalam.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian menerima panggilan kecemasan pada 5.33 petang sebelum sebuah jentera Penyelamat dan Pemadam Kebakaran (FRT) dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama lapan anggota dikerahkan ke lokasi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan l, Rosnani Malong, memaklumkan dua mangsa berada di dalam kenderaan ketika pasukan penyelamat tiba.
Mangsa pertama, 63, yang memandu kenderaan tersebut dilaporkan selamat. Manakala penumpang, seorang wanita, 55, mengalami kecederaan patah kaki kiri.
Mangsa selamat dihantar menggunakan unit EMRS BBP Serian manakala penumpang yang cedera dibawa ke Hospital Serian oleh ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).
Operasi tamat sepenuhnya pada 6.33 petang setelah pasukan memastikan keadaan terkawal. Turut membantu di lokasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM.
Oleh Adi Safarman