PETRA JAYA: Salah seorang atlet Sarawak terpaksa digugurkan selepas gagal melayakkan diri dalam proses klasifikasi kerana pengukuran tahap kecerdasan (IQ) yang melebihi ambang batas.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, proses yang diadakan semalam menyaksikan IQ atlet tersebut diukur pada 77 kerana untuk diklasifikasikan sebagai orang kurang upaya (OKU), IQ mesti 75 atau di bawah.
“Ini amat mengecewakan bagi atlet dan ibu bapa yang berharap dia dapat menyertai Sukan SUKMA.
“Saya juga telah memaklumkan kepada pengarah Jabatan Kebajikan Sosial Sarawak untuk menghantar kaunselor bagi memberikan sokongan kepada atlet dan ibu bapa mereka.
“Walaupun masa ini tidak berjalan lancar, mereka boleh bersaing dalam acara-acara akan datang. Kami akan lihat bagaimana perkembangan seterusnya.
“Salah satu kemungkinan adalah mereka dapat menyertai acara lain kerana syaratnya berbeza bagi setiap acara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Dataran Perayaan di sini, hari ini.
Pada Para SUKMA 2022, tiga altet para Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) terpaksa digugurkan daripada menyertai Para Sukma 2022 gara-gara memiliki IQ yang tinggi.
Dalam pada itu, Fatimah menjelaskan bahawa kementeriannya komited untuk menjadi kuasa besar dalam Sukan Para, dengan persiapan penting yang sedang dijalankan untuk menyokong orang kurang upaya (OKU).
“Pada usia yang sangat awal, kita mesti mengenal pasti bakat berpotensi dan memberikan pendedahan serta peluang yang sewajarnya.
“Kita perlu menganjurkan sebanyak mungkin pertandingan dan menawarkan latihan serta penglibatan pertandingan yang betul bagi memastikan Sarawak dapat cemerlang dalam sukan untuk orang kurang upaya,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal dan Shahrul Qaizat