BINTANGOR: Fenomena air pasang besar dan hujan lebat sejak beberapa hari lalu mengakibatkan limpahan air sungai melanda beberapa penempatan penduduk di kawasan rendah berisiko banjir di Daerah Meradong.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, PPgB Nicholas Belulin berkata, kawasan tersebut ialah tebingan Sungai Bintangor dan tebingan Sungai Batang Rajang.
“Pihak kami (bomba) telah menjalankan pemantauan lebih kerap di kawasan-kawasan tersebut dan didapati air naik setinggi 0.2 hingga 0.5 meter dari paras jalan.
“Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran, paras air tertinggi di Meradong setakat ini ialah 2.6 meter.
“Oleh itu, saya berharap penduduk dikawasan rendah berisiko banjir sentiasa peka dan berwaspada.
“Hubungi pihak bomba dengan kadar segera sejiranya paras air naik mendadak dan awasi anak-anak kecil supaya tidak bermain diluar rumah ketika air pasang,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Dalam pada itu, berkenaan penduduk yang mendiami kawasan tinggi, beliau berharap mereka turut berwaspada dengan risiko runtuhan tanah.
“Hujan lebat boleh mengakibatkan permukaan tanah lembab dan aliran air hujan boleh menghakis cerun bukit,” ujarnya.
Jelasnya, sebanyak 22 kawasan di Meradong dikenalpasti oleh pihaknya sebagai kawasan rendah berisiko banjir.
“Kita kini sedang menghadapi fasa Monsun Timur Laut (MTL), oleh itu saya berharap masyarakat awam sentiasa peka dengan keadaan persekitaran rumah masing-masing masa ini.
“Pihak kami sentiasa dalam kesiapsiagaan untuk membantu penduduk yang memerlukan bantuan,” katanya lagi.
Kata Nicholas, pihaknya telah menjalankan pemantauan paras air di tebingan Sungai Batang Rajang dan Kampung Bintangor, malam Selasa lalu.
“Ketika pemantauan sekitar 8.30 malam hingga 9.00 malam, hujan renyai-renyai sedang berlaku dan didapati paras air berada diparas amaran disebabkan fenomena air pasang besar, namun trend air sedang surut,” katanya.
Oleh EARL ANEK