JULAU: Penduduk setempat diseru supaya sentiasa memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin berkata, ia adalah untuk memastikan kesinambungan pembangunan yang telah dirancang demi kesejahteraan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan.
“Sebagai anak tempatan disini, saya sedar dan perihatin tentang keperluan rakyat dan sedaya upaya meneruskan usaha untuk membawa pembangunan infrastruktur ke kawasan N48 Meluan untuk meningkatkan sosio ekonomi mereka,” katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Tapak Naik Taraf Jalan Rumah Achi, Lasi Julau, Jumaat lalu.
Dalam pada itu, berkenaan dengan naik taraf Jalan Rumah Achi, beliau berharap dengan siapnya naiktaraf jalan ini nanti ia akan menambah baik jaringan perhubungan jalan dari Rumah Achi dengan jalan utama Lasi.
Projek naik taraf jalan Rumah Achi tersebut akan dilaksanakan dengan peruntukan projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM200,000.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Brian Fung Kok Shiun yang turut berucap di majlis tersebut juga memaklumkan bahawa pelaksanaan RTP Kerajaan Sarawak dan projek kerajaan yang dilaksanakan melalui jabatan dan agensi pelaksana mesti mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Beliau berharap penduduk setempat untuk bersabar sebab semua projek yang telah diluluskan tetap akan dilaksanakan seperti yang dijadualkan.
Turut hadir, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarikei, wakil syarikat kontraktor, Edwin Yap dan ketua masyarakat serta penduduk tempatan.
Oleh Earl Anek