
SAN SALVADOR, El Salvador: Mural berskala besar yang menggunakan penutup botol plastik menggambarkan versi Mona Lisa Amerika Latin, menghiasi dinding bangunan apartmen di kawasan Zacamil, Mejicanos, pinggir ibu negara El Salvador.
Mural setinggi kira-kira 13 meter ini mengambil inspirasi daripada maestro Renaissance, Leonardo da Vinci, serta gaya lukisan pointillism pelukis Perancis, Paul Signac.
Seniman Venezuela, Oscar Olivares, menggunakan lebih 100,000 penutup botol plastik terpakai yang dikumpulkan oleh penduduk tempatan, dibasuh dan disusun, bagi menyiapkan mural ini dalam masa tiga minggu.
Beliau berkata, “Saya ingin menggambarkan Latin American Mona Lisa.”

Berbeza daripada latar pedalaman Itali dalam karya asal da Vinci, mural ini menampilkan rumah-rumah berwarna cerah, gunung biru mencolok dan langit corak papan catur. Wajah Mona Lisa digambarkan dengan rona merah, jingga dan kuning menyerupai sinaran matahari, lengkap dengan gaya pakaian dan riasan moden yang mencerminkan keanggunan wanita Latina kontemporari.
Zacamil sebelum ini terkenal dengan kawalan geng ganas, namun aktiviti jenayah di kawasan itu telah berkurangan berikutan tindakan keselamatan kerajaan.
Olivares sebelum ini juga mencipta mural menggunakan penutup botol di Venezuela, Mexico, Arab Saudi, Perancis dan Itali, dengan lebih daripada 2 juta penutup botol digunakan dalam lebih dua dozen mural di seluruh dunia.
Beliau berharap karyanya memberi pandangan baharu kepada orang ramai mengenai kepentingan kitar semula plastik.
-AFP