
SEBUYAU: Seni silat sebagai warisan budaya bangsa perlu terus dipelihara dan dimartabatkan hingga ke peringkat antarabangsa agar nilainya kekal dihargai dan dikenali generasi akan datang.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata menjadi impian beliau agar generasi muda terus memelihara seni ini dengan rasa cinta dan bangga sebagai warisan yang melambangkan jati diri bangsa.
“Silat memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah diri, melatih keberanian dan menyemai rasa hormat terhadap orang lain, nilai-nilai ini sangat penting dalam membina masyarakat yang beradab dan bersatu padu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Penutupan Kejohanan Silat Pendekar Cilik Tertutup Parlimen Batang Lupar di Dewan Pembangunan Sebuyau, semalam.
Mohamad Shafizan turut menekankan bahawa semangat bertanding dalam silat mampu menggalakkan semangat kesukanan yang tinggi, mementingkan kejujuran dan menghormati sesama peserta tanpa mengira latar belakang.
Selain itu, katanya, silat menekankan kepada nilai semangat juang, semangat kerjasama yang erat serta penguasaan diri elemen penting dalam membentuk individu yang cekal dan berdaya tahan.
Mohamad Shafizan berharap agar kejohanan seperti ini dapat menjadi platform awal untuk mencungkil dan melahirkan bakat muda yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan seterusnya ke pentas antarabangsa.
Kejohanan Silat Pendekar Cilik Tertutup Parlimen Batang Lupar telah disertai seramai 160 peserta daripada lima pertubuhan seni silat sekitar Daerah Sebuyau itu telah berlangsung selama dua hari.
Oleh Adi Safarman