
SIBU: Rakyat Sarawak disaran agar menghargai kuasa penyatuan seni sebagai jambatan antara komuniti yang berbeza dan sebagai pemangkin kepada perubahan masyarakat yang positif.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, Sarawak yang dihuni oleh lebih 30 kumpulan etnik dengan bahasa, adat resam dan warisan masing-masing, menjadikan seni sebagai satu kuasa penting yang mampu menyatukan masyarakat.
“Seni menceritakan kisah kita, tentang siapa kita, dari mana kita datang dan ke mana kita ingin tuju. Ia membolehkan kita mengalami kehidupan daripada sudut pandang orang lain serta menyediakan ruang yang selamat untuk dialog dan ekspresi,” jelasnya.
Beliau bermata demikian pada majlis Pelancaran Pameran Seni ‘Encounter’ yang dianjurkan bersama oleh Gereja BEM Hosanna, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu memuji dua artis tempatan, Clara Ling dan Ngu Mei Cui atas usaha mereka dalam mengkurasi acara tersebut secara bersama, yang disifatkannya sebagai satu ekspresi yang bermakna terhadap perjalanan budaya dan kerohanian.
“Seni, sama ada dalam bentuk muzik, tarian, teater, lukisan, sastera atau filem adalah bahasa sejagat. Ia melangkaui sempadan, melampaui politik dan melangkaui bangsa, agama serta latar belakang.
“Dalam dunia yang sering menonjolkan perbezaan, seni mengingatkan kita tentang nilai kemanusiaan yang kita kongsi bersama. Ia memainkan peranan yang sangat penting dalam memupuk kefahaman budaya dan perpaduan komuniti,” ujarnya.
Tiang turut menekankan sokongan berterusan kerajaan terhadap sektor kreatif, dengan menyebut beberapa projek utama seperti Muzium Budaya Borneo yang siap dibina pada 2022, muzium terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara serta Pusat Seni Persembahan Sarawak yang dijangka siap menjelang 2027.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa memartabatkan seni bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata.
“Ia adalah misi bersama untuk semua yang tinggal di negeri yang indah dan berbilang budaya ini,” katanya.
Beliau berharap agar pameran seni seperti ‘Encounter’ dapat menginspirasi orang ramai untuk hidup dengan integriti dan belas kasihan, digerakkan oleh wahyu ilahi dan perjuangan menegakkan keadilan.
“Biarlah ini menjadi permulaan kepada sesuatu yang memberi impak bahawa melalui seni yang diilhamkan oleh iman, kita dapat membentuk warga yang baik, menjunjung kebenaran dan hidup untuk memuliakan Tuhan,” ujarnya.
Oleh Akun Giman