NAMA baharu Kementerian Pelancongan bagi Sarawak cukup menarik sekali untuk diperkatakan. Dulu dinamakan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, kini dikenali sebagai Kementerian Pelancongan, Seni Kreatif dan Seni Persembahan.
Perubahan pada nama itu jelas dapat menggambarkan bentuk penekanan yang diberi oleh Kerajaan Sarawak dalam fokusnya untuk memastikan industri pelancongan dibangunkan untuk meletak Bumi Kenyalang ini menjadi sebuah destinasi pelancongan perdana di Malaysia.
Langkah ini dilihat sebagai sejajar dengan Wawasan 2030 yang ingin meletakkan Sarawak sebagai wilayah termakmur dalam tempoh lapan tahun mendatang. Ia juga suatu kerasionalan untuk menjajarkan pembangunan industri pelancongan yang sudah memiliki landskap perubahan yang amat ketara akibat impak pandemik Covid-19.
Pelan Induk Pelancongan 2021-2030
Kerajaan Sarawak melibatkan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) bersama-sama menggerakkan pemain industri pelancongan, kesenian dan kebudayaan dalam merangka Pelan Induk Pelancongan Ketiga 2021-2030.
Pendekatan inklusiviti sedemikian usaha yang paling praktikal dan afdal untuk menjajarkan perancangan dengan kaedah pelaksanaan bagi membangunkan pelancongan yang sudah pasti memiliki model perniagaan yang menuntut pendekatan yang tidak konvensional lagi seperti apa-apa yang dilakukan pada era pra-Covid-19.
Kreativiti tonggak pelancongan
Tidak dapat dinafikan juga seni kreatif sememangnya bersinonim dengan pelancongan kerana selama ini pun pelancongan itu berkait rapat dengan kesenian, kebudayaan dan warisan yang di dalam setiap kategori itu ada ciri-ciri kesenian tersendiri.
Justeru, mestilah Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan bertanggungjawab untuk menonjolkan bahawa Sarawak ialah destinasi perdana pelancongan Malaysia kerana di Sarawak seni dan kreativitinya ada pada krafnya, tenunannya, cerita rakyatnya, bahasa-bahasa etniknya, dalam karya sasteranya, adat resamnya, dan seumpamanya.
Malahan, tempat-tempat menarik seperti taman negaranya, gua-guanya, tarian-tarian pelbagai etnik, selain makanan-makanan eksotik masyarakat pribumi Sarawak juga memiliki ciri-ciri keunikan yang tiada tolok bandingnya.
Gerak tindak melandasi Dasar Industri Kreatif Kebangsaan yang mengenal pasti seni kreatif di bawah 10 kategori iaitu seni visual; seni persembahan; musik; sastera; filem/televisyen dan kandungan permainan; fesyen dan rekabentuk; seni tradisional dan kebudayaan; pendidikan kreatif; teknologi kreatif; dan seni kulinari.
Keterangkuman kesemua ini memang wajar diambil kira secara mendalam dan serius sebagai fokus untuk keperluan jangka panjang pembangunan industri pelancongan bagi Bumi Kenyalang yang indah, permai dan unik ini.
Peranan belia signifikan
Satu lagi keistimewaan Kementerian Pelancongan di Sarawak ini adalah, ia turut digandingkan dengan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan.
Merangkumi dua kementerian ini di bawah bidang kuasa seorang Menteri yang sama adalah satu langkah yang bukan setakat merancakkan pembangunan pelancongan Sarawak, malah memberi warna, tenaga dan nafas kesegaran kepada industri pelancongan yang dibangunkan itu.
Demi kelicinan tadbir urus pula empat orang Menteri Muda dilantik untuk membantu Menterinya untuk memastikan setiap sayap masing-masing berupaya dijalankan dengan baik.
Atas sebab itulah, kita lihat Dato Sebastian Ting Chiew Yew diamanahkan sebagai Menteri Muda untuk mengendali unit pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan manakala Datuk Snowdan Lawan sebagai Menteri Muda membimbing unit belia, sukan dan pembangunan usahawan.
Untuk memastikan pula agar fokus terhadap belia ini ditekuni secara bersistematik dilantikkan pula dua lagi Menteri Muda iaitu Dato Gerald Rentap Jabu (memfokus belia dan sukan) manakala Dr Ripin Lamat (memfokus Pembangunan Usahawan).
Kita lihat kebijaksanaan sebalik penamaan kementerian serta pelantikan tenaga tadbir urus yang begitu rapi sekali.
Dalam usaha membangunkan belia, membangunkan sukan dan membangunankan keusahawanan, secara tidak langsung golongan belia sudah terdedah dengan selok-belok membangunkan pelancongan kerana latihan keusahawanan yang mereka jalani sudah tentu termasuk mengusahakan perusahaan yang ada kaitan langsung dengan pelancongan dan kesenian-kesenian yang diberikan penekanan.
Pelancongan, seni, belia dan keusahawanan dirangkum dalam satu bakul untuk menjaja pelancongan Sarawak agar dunia dapat merasa betapa Sarawak adalah Bumi Kenyalang yang indah, makmur, harmonis.
Manikam Borneo
Kita inginkan Sarawak dilabelkan oleh pelancong asing dan serantau sebagai manikam Malaysia yang berkilau dari Pulau Borneo.