
Dato Ahmad Ibrahim ditemui Utusan Sarawak semasa Perhimpunan Agung ke-16 PBB.
PETRA JAYA: Senator Dato Ahmad Ibrahim menegaskan komitmennya untuk mengukuhkan perpaduan dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) setelah terpilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu.
Beliau yang pernah berkhidmat dalam jawatan yang sama sebelum ini, kembali ke barisan kepimpinan selepas berehat selama satu penggal.
“Terima kasih kepada semua ahli PBB dari 82 cawangan yang memilih saya menjadi. Saya bersyukur dan berterima kasih juga kepada Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta rakan-rakan lain yang memberi peluang ini,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Beliau menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan Bumiputera di Sarawak, terutama dalam menghadapi cabaran politik masa kini.
Ahmad turut menyatakan keprihatinannya terhadap situasi di Ngemah, di mana berlaku penyusutan keahlian parti.
“Saya akan pergi ke Ngemah. Saya ada bercakap dengan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN), Katibas dan ADUN Ngemah Anyi Jana, sebaiknya kita pergi ke sana melihat apa masalahnya.
“Kita cuba atur untuk turun ke lapangan kerana keluarga saya juga ada di sana. Kita mahu tahu apa sebenarnya masalah,” katanya.
Sebagai seorang pemimpin yang berasal dari Kanowit dan kini mengetuai cawangan PBB Batu Kawa, Ahmad melihat kelebihan dirinya dalam merapatkan hubungan antara pelbagai kaum Bumiputera.
“Saya ingin menyatukan semua kaum Bumiputera. Tak kisahlah kamu dari Pesaka atau Bumiputera Melayu, Melanau, Iban, Kayan, atau Kenyah.
“Kita perlu eratkan perhubungan. Sebab itu, slogan dalam kad kempen saya ialah ‘Satu PBB, Segulai Sejalai’,” katanya sambil menekankan pentingnya semangat perpaduan yang sering ditekankan oleh Premier Sarawak.
Beliau juga mengulas isu politik di Semenanjung Malaysia yang sering dipengaruhi oleh sentimen agama.
“Di Semenanjung, kalau mereka tidak bercantum dengan bangsa lain, susah untuk mereka. Jadi kita di Sarawak jangan berpecah. Apa pun terjadi, kita mesti bersatu terutama sekali orang Islam, kita mesti mencari jalan untuk bekerjasama dengan semua kaum lain.
“Saya ingin menutup jurang antara kaum dan memberi fokus kepada rakyat supaya tidak terlalu berfikir tentang perbezaan agama. Jangan gunakan agama sebagai senjata dalam politik. Di Sarawak, kita harus teruskan tradisi ini,” ujarnya.
Beliau juga berharap generasi muda dapat mencontohi pemimpin seperti Abang Johari, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, serta pemimpin lain dalam memastikan keharmonian dan kestabilan politik negeri terus terpelihara.
“Satu hari nanti, anda semua yang akan memimpin. Tetapi anda perlu tahu bagaimana untuk masuk ke dalam politik dengan cara yang betul,” katanya.
Oleh MASRIN AFFIRAH dan SHAH IZZAT