Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Senator Dato’ Ahmad Ibrahim sokong penuh RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025
  • NASIONAL

Senator Dato’ Ahmad Ibrahim sokong penuh RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025

Utusan Sarawak 1 day ago
SIDANG… Senator Dato Ahmad Ibrahim ketika perbahasan di Dewan Negara hari ini. 

KUALA LUMPUR: Senator Dato’ Ahmad Ibrahim menyatakan sokongan padu terhadap Rang Undang-Undang Insolvensi Rentas Sempadan 2025 ketika perbahasan di Dewan Negara hari ini, sambil menekankan beberapa perkara kritikal agar pelaksanaannya benar-benar melindungi kepentingan negara dan rakyat.

Beliau menyifatkan rang undang-undang itu sebagai langkah penting memodenkan sistem perundangan Malaysia sejajar realiti ekonomi global yang semakin kompleks dan saling bergantung.

“Ekonomi kita hari ini tidak lagi beroperasi dalam sempadan domestik semata-mata. Tanpa kerangka undang-undang yang jelas, kes insolvensi merentasi pelbagai bidang kuasa boleh menimbulkan kekeliruan, konflik tuntutan dan akhirnya kerugian kepada semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Rang undang-undang ini berasaskan Model Undang-Undang UNCITRAL mengenai Insolvensi Rentas Sempadan, yang telah digunakan lebih 50 negara termasuk Singapura, United Kingdom, Australia, Kanada dan Amerika Syarikat.

Beliau menegaskan tiga manfaat utama pelaksanaannya, iaitu mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai destinasi mesra pelabur, memastikan pengagihan aset dibuat lebih adil dan telus, serta meningkatkan daya saing Kuala Lumpur sebagai hab kewangan serantau.

Walaupun menyokong, beliau menekankan beberapa perkara perlindungan termasuk hak pemiutang tempatan yang tidak boleh diketepikan berbanding pemiutang asing.

Selain itu, keselamatan data kewangan mesti diperkukuh dengan langkah keselamatan siber yang ketat.

Pelaksanaan undang-undang ini juga perlu disertakan dengan kebertanggungjawaban melalui laporan tahunan atau kajian kes ke Parlimen bagi menilai keberkesanannya.


Beliau juga memberi penekanan terhadap dimensi strategik Sarawak, khususnya syarikat berkaitan kerajaan negeri seperti Petros, Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Development Bank of Sarawak (DBOS) yang mempunyai kerjasama antarabangsa besar.

“Aset strategik negeri mesti dilindungi daripada campur tangan asing sekiranya berlaku prosiding insolvensi rentas sempadan,” tegasnya.

Sementara itu, hak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sarawak yang menjalankan perdagangan dengan Brunei, Kalimantan dan Singapura juga mesti diberi perlindungan adil sekiranya rakan niaga luar negara berdepan insolvensi.


Senator Ahmad turut menggesa Malaysia memainkan peranan kepimpinan dalam ASEAN dengan mempelopori protokol serantau berkaitan insolvensi.

“Singapura mungkin telah mendahului, tetapi Malaysia wajar lebih proaktif dalam menggerakkan kerjasama serantau mengenai insolvensi rentas sempadan. Langkah ini akan menempatkan negara kita sebagai peneraju dalam undang-undang kewangan serantau,” katanya.

Beliau menambah, melalui kerangka BIMP-EAGA, Malaysia berpeluang memposisikan Kuching dan Kota Kinabalu sebagai hab penyelesaian undang-undang rentas sempadan di rantau Borneo.

Sebagai penutup, beliau menegaskan sokongan penuh terhadap RUU tersebut dengan syarat ia dilaksanakan secara teliti dan seimbang.

“Saya menyokong penuh rang undang-undang ini dengan harapan pelaksanaannya dibuat secara teliti, seimbang, dan berpaksikan kepada kepentingan negara serta rakyat,” katanya.

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Kes Ismail Sabri: Wang tunai hampir RM170 juta disita, kini hak milik kerajaan – Azam Baki
Next: Ancaman LNG Bintulu: SMS daripada nombor telefon berdaftar di Indonesia – Fadillah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.