



KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga dekad memeriahkan dunia lawak tanah air, kumpulan legenda Senario atau kini dikenali SenarioUnion, bakal kembali menggegarkan pentas melalui Konsert The Last Kopek: SenarioUnion 30 Tahun yang dijadualkan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 25 April depan.
Konsert berskala mega anjuran Dreamscape Events dan Kapla Entertainment itu adalah hadiah istimewa buat peminat setia mereka bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan Senario.
Ditubuhkan pada awal 1990-an menerusi gabungan beberapa peserta daripada program realiti Sinaran Pasport Kegemilangan, kumpulan legenda komedi itu kini dianggotai Azlee Jaafar, Wahid, Lan Pet Pet, Ilya Buang, Saiful Apek dan Yassin Yahya.
Mewakili kumpulan itu, Azlee, 58, berkata persediaan menuju konsert itu bukan sekadar latihan rutin, tetapi menuntut stamina, komitmen dan kesepakatan antara ahli SenarioUnion memandangkan mereka bakal menghiburkan penonton selama lebih dua jam dengan lebih 20 buah lagu.
“Kami kena kumpul semangat dan tenaga sebab konsert ini bukan sekejap. Ditambah dengan usia kami, bukan mudah untuk sustain atas pentas dalam tempoh yang panjang,” katanya pada sidang media konsert berkenaan, di sini malam tadi.
Menurut Azlee, walaupun sesekali berlaku perselisihan faham antara ahli kumpulan, hubungan mereka tetap kukuh hasil sifat saling menghormati, keberanian mengakui kesilapan serta memberi ruang kepada setiap individu untuk membaiki diri.
Bagi Saiful Apek atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 56, pula, konsert itu bukan sekadar menampilkan elemen jenaka dan nostalgia, tetapi turut menekankan disiplin latihan serta mutu vokal supaya peminat berpuas hati dengan keseluruhan persembahan.
“Yang paling penting nyanyian tidak sumbang… sebab itu kami tetap menjalani latihan untuk memantapkan persembahan walaupun kami bukan penyanyi sepenuh masa,” katanya.
Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, 56, berkata konsert berkenaan turut menjadi ruang mempertemukan semula generasi peminat lama yang kini sudah berkeluarga, selain memperkenalkan Senario kepada generasi baharu.
“Dulu yang datang tengok kami ramai yang masih bujang, sekarang ramai yang dah ada anak malah ada cucu. Jadi kami harap mereka dapat datang balik bersama-sama keluarga,” katanya yang turut mengajak peminat lama membawa album, kaset atau CD terdahulu sebagai kenangan pada malam konsert tersebut.
Konsert The Last Kopek: SenarioUnion 30 Tahun akan menampilkan persembahan nyanyian dan lawak jenaka dengan iringan tujuh pemuzik serta tiga pemain horn dan akordion, manakala susunan muzik baharu yang lebih segar akan diketuai Chaan & The Leman Band selaku pengarah muzik.
Tiket berharga RM138 hingga RM488 akan dijual menerusi www.ilassotickets.com/Senariounion atau www.fantopia.io bermula 15 Disember ini.- Bernama