KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan senarai nama timbalan menteri pada malam ini.
Anwar berkata beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada petang ini bagi mempersembahkan senarai nama berkenaan.
“Saya akan menghadap Yang di-Pertuan Tuanku (Agong) pada petang ini dan Insya-Allah pada 8.15 malam kita umumkan nama-nama timbalan menteri,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru di sini hari ini.
Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada petang ini.
Media melaporkan Anwar dijadual menghadap Al-Sultan Abdullah pada petang ini bagi memaklumkan senarai timbalan menteri yang bakal dilantik menyertai pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya.
Terdahulu, Perdana Menteri menyantuni pengunjung dan makan tengah hari di sebuah restoran berdekatan Masjid Jamek Kampung Baru pada 12.40 tengah hari sebelum menunaikan solat Jumaat.
Anwar yang berbaju Melayu berwarna biru lengkap bersamping, tiba di masjid berkenaan pada kira-kira 1 tengah hari, diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau juga sempat menyantuni para jemaah sebelum masuk ke dewan solat masjid berkenaan untuk mendengar khutbah bertajuk ‘Zakat Diperkasa, Asnaf Terbela’ yang dibacakan Imam Masjid Jamek Kampung Baru, Azizi Ab Hamid dan menunaikan solat Jumaat.
Azizi dalam khutbahnya berkata dalam mendepani ketidakstabilan ekonomi global, masyarakat Islam tidak seharusnya melupakan peranan penting zakat bagi merancakkan kembali ekonomi umat Islam.
Menurutnya permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan dapat ditingkatkan dengan mewujudkan kuasa membeli kepada golongan asnaf melalui agihan zakat yang dilaksanakan.
“Ibadah zakat seperti zakat fitrah, zakat harta dan zakat pendapatan bukan sahaja salah satu bentuk penyucian jiwa dan harta bahkan ia berupaya memupuk semangat persaudaraan dan kasih sayang di antara golongan kaya dan miskin.
“Kikislah sifat bakhil di dalam diri dan tingkatkan kepekaan kita terhadap masyarakat di sekeliling kita agar mereka yang memerlukan dapat terus dibantu melalui zakat yang kita keluarkan,” katanya.
Justeru, Azizi menasihati masyarakat Islam supaya segera menunaikan kewajipan zakat melalui pelbagai saluran disediakan dalam meraih keredaan Allah SWT dan demi manfaat asnaf serta golongan yang amat memerlukan bantuan.
— BERNAMA