LIMBANG: Pembangunan lestari akan dilaksanakan bagi semua projek infrastruktur asas di wilayah utara Sarawak membabitkan daerah Limbang dan Lawas.
Kerajaan akan membangunkan jaringan jalan raya bertaraf dunia tanpa menjejaskan alam sekitar, termasuk pembinaan jaringan jalan raya berkembar yang rancak dibina sekarang.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata, perlaksanaan kemudahan ini akan mentranformasikan pembangunan di bahagian ini.
“Kerajaan sedang membangunkan infrastruktur jalan raya bertaraf dunia,tanpa menjejaskan alam sekitar, pembinaan jaringan jalan raya berkembar dan dalam tempoh lima tahun apabila projek ini siap, landskap Limbang dan Lawas akan berubah,” katanya pada sidang media sempena lawatannya ke Limbang semalam.
Mengiringi beliau ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah, Menteri Utiliti Dato Sri Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan beberapa kenamaan lain.
Seterusnya Abang Johari memberitahu, kerajaan juga merancang membangunkan kawasan di Lapangan Terbang Limbang dengan pembinaan akses jalan raya di kawasan berkenaan.
Ini akan membuka kawasan hujung bandar Limbang sebagai kawasan tarikan baru untuk Limbang dalam tempoh lima tahun.
Sementara itu, bagi daerah Lawas pula bakal mempunyai jambatan Kuala Lawas dengan reka bentuknya seperti jambatan di luar negara di London.
Malahan Ketua Menteri turut merancakkan pembangunan kawasan Utara Sarawak dengan membina akses ke Gunung Mulu dan Gunung Buda.
Ini merupakan cara kerajaan Gabungan Parti Sarawak mengekalkan landskap pembangunan, ekonomi serta membangunlan jaringan telekomunikasi daripada Selatan ke Utara Sarawak.
Menyentuh mengenai projek Jambatan Sungai Limbang yang berlaku kelewatan, beliau telah diberi jaminan ianya akan disiapkan mengikut jadual dengan penubuhan ‘jawatankuasa bertindak’ bersama pihak pemaju dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai formula dalam menangani kelewatan projek ini.
Jelasnya dua kontraktor akan dilantik untuk membina jalan menuju ke jambatan dan pembinaan jambatan utama itu sendiri.
“Jambatan Sungai Limbang akan siap mengikut jadual, dengan penyelesaian yang proaktif,”jelasnya.
Bagi Projek Menaik taraf Loji Rawatan Air Berawan, Ketua Menteri memaklumkan projek ini mampu menampung keperluan bekalan air di daerah ini dengan kapasiti 40 juta liter sehari (MLD) berbanding 20 juta MLD pada masa kini.
“Projek ini yang hampir siap akan mencapai seratus peratus capaian air ke kawasan Medamit dan seluruh Limbang selain menangani masalah gangguan bekalan air,”tegasnya.
Ketua Menteri mengakhiri lawatan kerja lewat petang tadi untuk berangkat balik bagi meneruskan jadual ketatnya di ibu negeri.
Oleh ADENG EDRUS