Oleh Khairina Nazihah
TATKALA aku membuka kelopak mata dalam keadaan yang masih mamai, aku terpinga-pinga berada di dalam sebuah bilik sederhana besar di hadapan lelaki berbaju putih dengan mata yang dipicing dan dahi yang berkerut melihatku.
Cahaya mentari yang bertelau-telau kemerahan di langit yang menyelinap dari langsir yang sedikit terbuka mengingatkan aku pada titisan darah yang kian muncul menghantui malamku. Ingatan itu masih kabur. Adakah itu hanya imaginasi atau sememangnya sebuah realiti. Perasaan cuak dan resah bertempur dalam dada hingga melontarkan aku dalam ketidaktentuan rasa. Ketenanganku diasak-asak. Perasaanku dikocak-kocak. Kepalaku serabut hingga melontarkan jiwaku dalam kekalutan; hunjaman soalan yang tidak mempunyai jawapan. Kelibat bayangan ayah mengacah? Ke manakah ayah menghilang? Beberapa ketika aku cuba mencari kelibatnya. Mengapa aku dibawa ke sini?
Beberapa jam yang lalu, aku berdiri di atas bangunan dua belas tingkat dan cuba membunuh diri. Aku tidak mampu mendepani segala himpitan masalah. Jiwaku terdera yang turut menghakis kerasionalanku. Aku tersepit dengan kebimbangan dan perasaan takut yang merampas cebisan demi cebisan kewarasan.
Aku sudah tidak mampu bertahan. Persis seorang psikopat, dia mengurungku dalam sebuah bilik. Kadangkala aku tidak diberikan makanan. Aku disebat dengan tali pinggang tanpa alasan. Aku terdera mental dan juga fizikal hingga perasaan marah membuak-buak dari dalam.
Malam adalah kegelapan yang meresahkan. Dingin malam sentiasa menghangatkan kebimbanganku dengan fiilnya yang suka mabuk. Dia ketagihan minuman keras – hingga turut bertindak keras – mengetuk keras pintu bilik sambil memanggil namaku. Aku hanya bersembunyi di sebalik dinding bilikku; melayan perasaan gerun. Diriku terdesak untuk memperlahankan nafasku yang menjadi goyah, khuatir yang ayahku akan menerpa masuk ke dalam bilikku. Aku diserkup keresahan. Jantungku berdegup terlalu kencang setiap hari. Dadaku terasa mahu meletup. Aku teringin menghentikan degupan jantung ini.
“Saudara?”
Aku membuka kelopak mata. Aku mendongakkan kepalaku memandang lelaki yang sibuk di hadapan komputer – mungkin membuat beberapa catatan tentangku. Sesekali ada lelaki lain yang turut masuk ke dalam ruang bilik yang agak sempit itu. Fail-fail tersusun rapi di atas meja. Bandulan yang diletak di atas meja tidak bergerak – hanya digerakkan apabila diperlukan. Entah dalam beberapa ketika, aku masih berkhayal. Daya ingatanku masih kabur. Setiap peristiwa masa lalu bertindan-tindih menyesak dalam ingatan.
Mata lelaki berbaju putih itu masih tunak memerhati tingkahku dari tempat duduknya. Aku duduk di atas kerusi yang boleh dilaraskan; sesekali penyandarnya diturunkan hingga aku dalam keadaan hampir terbaring. Pasti sejak tadi lagi lelaki itu menekuni setiap pergerakanku dalam senyap. Mataku terkebil-kebil; cuba kembali ke dunia realiti.
“Ya?”
“Nama saudara?”
Aku masih tidak pasti, mengapa aku dibawa ke bilik tersebut dan berdepan dengan lelaki bercermin mata itu. Kepalaku terasa berat. Leher terasa tegang dengan pelbagai perkara yang mengocak ketenangan. Sejujurnya, aku tidak ingat apa-apa selepas percubaanku untuk membunuh diri menemui kegagalan. Mengapa terlalu sukar? Aku menekur meja. Ya, aku tidak ingat. Menerima hakikat itu, aku menjawab soalan lelaki itu sambil cuba menelan emosi panik dan kekhilafan daripada terpapar pada raut mukaku.
“Tariq. Tariq Saddam Bin Khairur Hissam.”
“Umur?”
Telingaku terasa berdesing tatkala aku cuba berfikir. Aku memicingkan mata, menjawab soalan tersebut, “Enam belas.” Aku mengemam bibirku yang terasa kering.
Dia mengalihkan pandangan pada fail di atas meja. Dahinya sedikit berkerut. Dalam beberapa saat kemudian, dia hanya mengangguk tanpa memberi sebarang respons kepada jawapanku. Lelaki itu beralih pada soalan lain. Terasa perit dan pening di pelipis kepalaku tatkala dia menanyakan soalan tentang keharmonian hubunganku dengan ayah. Aku terus terpaku seperti dimatikan oleh realiti yang masih kabur. Perlahan-lahan aku menggelengkan kepala, berdiam diri.
Suasana dalam bilik dipenuhi dengan kesepian. Aku menarik nafas, cuba memanggil ketenangan. Dia mengangkat satu kening, tetap bersabar menunggu aku memberikan respons. Ketenangannya membantu meredakan kekalutan emosi yang melampau. Namun, masih ada keresahan yang menghimpit dada. Patutkah aku memberitahu? Fikiranku sekali lagi menjadi serabut, gelisah mencari pilihan yang betul. Ya, aku semakin terdesak untuk mencari jalan keluar. Keinginanku untuk melarikan diri dari tragedi kehidupan bersama seorang pendera membuatkan aku sanggup bergantung pada lelaki itu – biarpun terasa asing – daripada meneruskan kehidupan di bawah jagaan ayahku. Aku menelan air liur yang berkumpul di mulut. Apabila aku menelannya, memang terasa kepahitannya. Terasa sukar aku mengucapkan kata-kata tersebut.
“Aku sangat takut pada ayah.” Aku luahkan satu-persatu. Ada getaran pada nada suara. Ada ketaran pada jari-jemari. Apabila aku lambat pulang ke rumah pada petang itu, suaranya sudah kedengaran membentak-bentak di sebalik pintu. Ayah menjerit memanggil namaku. Aku hampir memulas tombol pintu. Aku matikan niat tersebut. Tidak dapat dibayangkan malang yang akan menimpa jikalau aku melangkah masuk, meletakkan diriku dalam situasi yang sama setiap hari; dipukul dan dimanipulasi.
Ibu tidak dapat berbuat apa-apa. Malah ibu juga sering menerima nasib yang sama jikalau bersuara. Kami pernah dikurung dan diikat di dalam bilik atas kesalahan yang sangat kecil. Dia seperti pengidap skizofrenia tatkala mendera kami dengan tindakan yang tidak wajar. Pada waktu yang lain, dia juga boleh menjadi ayah yang penyayang. Ayah seperti mempunyai beberapa perwatakan yang berbeza. Ada sisi gelapnya yang sangat menakutkan.
“Ayah juga pernah diperlakukan sedemikian rupa. Biar semua merasai kegetiran hidup. Hidup juga perlukan pembalasan dan keadilan.”Kerap kali ayah mengucapkan dialog tersebut sewaktu kemabukan menguasai diri.
Aku sentiasa ingin melarikan diri daripada belengu yang mencengkam. Perasaan takut persis degup jantung yang bergerak selari dengan langkah kakiku. Semuanya bergerak pantas dengan bebanan yang terasa menghempap kepala.
Aku membiarkan kakiku melangkah dalam ketidaktentuan rasa. Aku melalui lorong-lorong sunyi meredah pekat malam. Aku menapak dan mendaki anak-anak tangga sambil melihat contengan-contengan di dinding daripada pelukis yang mengalami masalah mental. Semuanya untuk melepaskan diri dari tekanan jiwa dan minda. Aku pula cuba mengambil jalan yang lebih drastik. Sekejap sahaja, aku sudah berada di atas bangunan tinggi – berdiri di atas tembok – melihat manusia dan kenderaan di jalan raya seperti semut yang merayap mencari makanan. Deruman enjin kereta dan motosikal seperti muzik kehidupan yang menyentap aku daripada terus mendalami segala konflik yang mungkin akan menyebabkan aku mengalami serangan panik jika aku terus memikirkan pelbagai perkara yang berkelintar di perabung minda. Angin berhembus kencang persis bisikan syaitan yang terus menghasutku. Bunyi dawai yang bergesel ditiup angin membentuk bunyi kekekan ketawa yang cuba mempersendakanku.
Aku terfikir untuk mendamparkan tubuhku ke atas jalan raya – biar tubuh kurusku digilis oleh kereta dan lori. Aku terasa penat menanggung beban hidup yang memancung keimanan. Aku ingin mengatasi masalah dan kesengsaraan diri tetapi usaha-usahaku tidak memberi apa-apa perbezaan untuk meringankan hati. Sememangnya aku berhak untuk berasa lemah dan lelah. Aku berhak untuk melampiaskan rasa marah.
Sudah aku tanamkan tekad untuk merampas hayat diri. Namun ada debaran di dada. Aku masih sangsi dengan tindakanku. Kakiku terasa tidak berkenyal. Aku yakin aku sudah berada di awang-awangan dengan tangan yang terkapai. Aku yakin, aku sudah meloncat dari tembok. Namun aku tiba-tiba tidak pasti sama ada semua itu merupakan realiti. Apabila aku membuka mata dan tersedar, aku sudah berada di dalam bilik ini – berdepan dengan lelaki yang tidak jemu bertanya pelbagai soalan kepadaku. Fikiranku seperti diseret untuk mengingati peristiwa lalu yang aku kian sukar fahami. Aku menjelajahi roman mukanya. Ada ngeri tercuit dengan bola matanya tiba-tiba menyerupai mata ayah yang tercerlung. Siapa yang terkejut? Akukah yang terkesima atau dia tatkala mengetahui tentang kebenaran?
Mengapa semuanya menjadi tidak sekata? Setiap peristiwa menjadi cebisan kertas yang dicerai dan dirincihkan. Aku terasa sukar untuk mencantumkan cebisan kenangan itu. Aku terasa ingin berteriak namun suaraku tersekat di hujung kerongkong. Ada sesuatu yang menghalang kebenaran itu terungkap.
Argh, aku sudah berada di dalam bilik yang tidak bertingkap di penjuru dapur rumah kami! Mengapa aku tidak semena-mena berada di sana? Mengapa tubuhku mengecil seperti melalui usia kanak-kanak semula – dalam usia sembilan tahun melihat peristiwa yang mengheretku dalam trauma dan ketakutan melampau melihat ibuku menggantung dirinya dalam bilik setelah tidak tahan dengan penderaan ayah tiriku. Setiap malam aku akan termimpikan peristiwa tersebut melihat lidah ibuku yang terjelir. Mungkin sebab itu aku akhirnya mengambil pendekatan yang hampir sama. Aku juga telah hilang kewarasan hingga cuba terjun dari bangunan. Tapi entah mengapa aku berada di bilik kecil dan berdepan dengan lelaki yang berbaju putih.
Antara sedar dan tidak, aku terdengar perbualan lelaki berbaju putih itu dengan rakan kerjanya. Aku masih lagi keliru. Aku masih tidak mampu berfikir secara jelas dan waras. Lelaki itu berdehem lalu berkata, “Diagnosis awal menunjukkan bahawa dia mengalami amnesia psikogenik atau amnesia disosiatif.”
“Maksud doktor?”
“Dia mengalami gangguan ingatan yang dicirikan oleh kehilangan ingatan episodik secara tiba-tiba. Pesakit boleh mengalami situasi tersebut untuk tempoh masa yang singkat atau boleh juga sehingga bertahun. Ada juga yang kritikal sehingga mengalaminya dalam tempoh yang lebih lama. Amnesia disosiatif telah ditakrifkan sebagai gangguan disosiatif yang dicirikan oleh jurang ingatan yang dilaporkan secara retrospektif. Jurang ini melibatkan ketidakupayaan untuk mengingat maklumat peribadi, biasanya bersifat traumatik atau tekanan untuk melindungi otak dan mental.”
“Sebab itu doktor bertanya tentang nama dan latar belakangnya tadi?”
“Benar. Seseorang yang mengalami amnesia psikogenik secara mendalam tidak dapat mengingati maklumat peribadi tentang diri mereka sendiri. Malah dia lupa apa yang telah berlaku. Dia juga tidak mampu membezakan antara realiti dan kenangan silam.”
Aku semakin keliru – tidak dapat menebak apa yang cuba diimplimentasikan. Lelaki itu cuba membawa fikiranku ke satu arah – mungkin untuk merungkai keruwetan persoalan.
“Saudara Tariq ingat mengapa saudara berada di sini?”
Terasa peluh merecik dan merenik pada pori-pori kulit. Keningku terasa semakin dikerutkan. Jelas sekali, aku dihubungkan dengan ayah tiriku.
Fikiranku dibawa ke satu masa – mungkin pada masa kini. Aku bukan lagi kanak-kanak yang berusia sembilan tahun. Aku yakin, aku berusia lebih lapan belas tahun. Aku sudah pun menamatkan persekolahan. Ada kemarahan yang terpancar. Ada dendam yang tersimpan. Aku berdepan dengan ayah tiriku.
Seperti menonton cerita di skrin televisyen, semua peristiwa tertayang dengan begitu jelas. Aku terpempan. Dadaku berdegup kencang. Benarkah seperti apa yang berlaku? Tanganku berdarah dengan ketaran yang begitu jelas. Ada pisau di tanganku. Aku merenung pisau tersebut. Aku ingin berteriak tatkala melihat ayah tiriku terbujur kaku dengan darah yang melimpah dari tubuh. Aku menangis. Aku terasa kesal dengan apa yang berlaku.
“Pihak polis telah menjumpai pisau yang berlumuran darah di tempat kejadian. Mereka dapati … cap jari saudara pada pisau itu.”
Aku terpempan dengan kepala yang sekali lagi tergeleng-geleng sebagai cubaan untuk menafikan dakwaan tersebut. Aku hilang kata-kata. Nafas terasa sendat. Aku meraup muka. Jari-jemari bergetar. Tubuh menggeletar. Serba sedikit, aku cuba meleraikan akar kekusutan yang melingkar.
“Ayah tiri saudara Tariq sebenarnya tidak hilang. Dia sebenarnya telah meninggal dunia. Pemikiran saudara sahaja yang terlepas untuk mengingati peristiwa tersebut. Dia telah dijumpai mati di kediamannya beberapa bulan yang lalu.”
Aku terkaku dan terpaku. Pandanganku tiba-tiba terasa kosong. Aku benar-benar mengharapkan supaya aku didiagnosis mengalami psikosis atau amnesia psikogenik supaya terlepas daripada hukuman ini.
Yang pasti, aku yakin semua itu hanya ilusi. Aku masih ingin hidup dengan ayah tiriku. Aku ingin dia menyambutku dengan kasih sayang. Aku ingin melihatnya memberikan senyuman kepadaku. Aku ingin mengasihinya sebagai sebagai seorang ayah.
Yah, percayalah bahawa semua ini hanya ilusi dan imaginasi liar!