KUCHING: Semua sekolah rendah dan menengah di bawah seliaan 10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang sebelum ini terjejas akibat jerebu akan beroperasi seperti biasa mulai esok.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sekolah terbabit melibatkan PPD Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu dan Betong.
Keputusan itu dibuat berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar pada 10.00 pagi hari ini.
JPN berkata, pembukaan semula sekolah bergantung kepada bacaan IPU yang berada di bawah 200, dengan tindakan persediaan boleh diambil sekiranya trend bacaan menunjukkan penurunan di bawah paras berkenaan.


Dalam pada itu, JPN mengingatkan pihak sekolah supaya menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah yang melibatkan murid sekiranya bacaan IPU melebihi 100.
Sekiranya bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah di kawasan atau daerah berkenaan hendaklah ditutup serta-merta, manakala jika bacaan melebihi 500, guru dan kakitangan sekolah tidak perlu hadir ke sekolah.
JPN turut menegaskan bahawa penutupan sementara sekolah boleh dilaksanakan berdasarkan saranan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) dari semasa ke semasa.
Bagi memastikan kesihatan dan keselamatan murid terus terpelihara, pihak sekolah turut diminta memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada cuaca panas dan berjerebu, selain memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi.
Murid juga dinasihatkan membawa air minuman sendiri, memakai penutup hidung serta minum air dengan kerap dan dalam kuantiti yang sesuai bagi membantu mengawal suhu badan.
Bagi murid asrama, pihak sekolah perlu menyediakan bekalan air minuman sekiranya keadaan menjadi kritikal dan tiada sumber lain untuk mendapatkan bekalan berkenaan.
JPN turut mengingatkan semua institusi pendidikan supaya sentiasa berwaspada dan bekerjasama dengan klinik serta hospital berdekatan sekiranya berlaku komplikasi kesihatan dalam kalangan murid akibat jerebu.
Semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Sarawak juga diminta memantau perkembangan tahap IPU melalui portal rasmi Jabatan Alam Sekitar menerusi APIMS atau laman sesawang rasmi Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), selain mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dari semasa ke semasa.
JPN menegaskan aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan murid serta seluruh warga institusi pendidikan sentiasa menjadi keutamaan.





