KUCHING: Peraturan Sumber Asli dan Alam Sekitar (Audit) 2008, yang diwartakan pada 31 Disember 2008 dan berkuat kuasa pada 1 Januari 2013, telah memajukan pengurusan alam sekitar dalam sektor perhutanan Sarawak.
Menurut Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, sektor perhutanan menunjukkan kesediaannya untuk pelaksanaan sepenuhnya melalui kejayaan menyiapkan projek perintis, hasil kerjasama dengan Persatuan Kayu Sarawak (STA) dan ahlinya.
“Tahun 2023 menandakan peristiwa penting dengan kejayaan menyiapkan projek perintis, menyediakan asas penting dan pengalaman operasi untuk ECA.
“Berikutan arahan Pengawal Kualiti Alam Sekitar Sarawak pada 26 Januari 2024, sektor perhutanan Sarawak akan beralih daripada menyerahkan Laporan Pemantauan Alam Sekitar (EMR) kepada melaksanakan Audit Pematuhan Alam Sekitar (ECA) kawal selia sendiri berkuat kuasa 1 Julai 2024,” katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan, semalam.
Dalam fasa baharu ini, kenyataan itu berkata, semua projek perhutanan perlu melengkapkan audit pematuhan alam sekitar dalaman dan luaran sekali setahun di mana matlamat sistem dwi-audit ini adalah untuk memastikan ia memenuhi piawaian alam sekitar dan menyokong amalan perhutanan yang mampan.
NREB Sarawak berkata, inisiatif ECA ini menyerlahkan tumpuan negeri terhadap perlindungan alam sekitar dan pertumbuhan mampan dalam sektor perhutanannya di mana audit bertujuan memastikan semua operasi perhutanan dijalankan secara bertanggungjawab, sekali gus membantu memulihara sumber asli untuk generasi akan datang.
Sementara itu, NREB Sarawak mengulangi komitmennya untuk membantu sektor perhutanan menyesuaikan diri dengan piawaian audit baharu, menawarkan sokongan dan sumber untuk memastikan pematuhan.
“Kami teruja untuk terus bekerjasama dengan rakan kongsi industri untuk mencapai objektif alam sekitar kami dan menggalakkan kawal selia kendiri di kalangan semua yang terlibat,” katanya.