
SIMANGGANG: Semua lapisan masyarakat digesa agar bersama-sama memainkan peranan aktif dalam memastikan kebersihan persekitaran bandar ini yang merupakan antara pusat tumpuan utama pelancong di Bahagian Sri Aman.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, tanggungjawab menjaga kebersihan dan keindahan bandar tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu pihak berkuasa tempatan, sebaliknya memerlukan penglibatan menyeluruh masyarakat setempat.
Beliau menegaskan bahawa sikap prihatin terhadap kebersihan bukan sahaja mencerminkan imej bandar yang teratur dan selesa, malah memberi kesan langsung kepada kesihatan awam serta kesejahteraan komuniti.
Menurutnya, amalan membuang sampah secara berhemah, menjaga kemudahan awam dan mematuhi peraturan kebersihan perlu dijadikan budaya harian dalam kalangan penduduk serta peniaga.
“Saya berharap usaha berterusan melalui kerjasama antara masyarakat, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan dapat memastikan Bandar Simanggang kekal bersih, indah dan berdaya saing sebagai destinasi pelancongan utama di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pembangunan Komuniti Majlis Daerah Sri Aman (MDSA): Gotong-Royong Kempen Kebersihan yang diadakan di kawasan Bandar Simanggang dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Cina Bandar Sri Aman.
Program berkenaan yang berpusat di Market Terbuka Bandar Simanggang itu melibatkan aktiviti pembersihan di beberapa kawasan tumpuan awam sekitar pasar yang sering menjadi lokasi kunjungan orang ramai dan pelancong.
Gotong-royong tersebut turut disertai majoriti Ahli Majlis MDSA, sekali gus mencerminkan komitmen pihak majlis dalam memperkasakan kesedaran kebersihan dalam kalangan komuniti bandar.
Selain aktiviti pembersihan, program berkenaan turut diisi dengan penyerahan limau mandarin anjuran JKKK Cina Bandar Sri Aman dengan kerjasama Persatuan Peniaga Kedai Kopi dan Restoran Bahagian Sri Aman sebagai simbol kebersamaan komuniti.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menegaskan bahawa peranan peniaga khususnya pemilik premis perniagaan amat penting dalam memastikan kawasan sekitar sentiasa bersih dan teratur.
Menurut beliau, rasa tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan di kawasan masing-masing mampu mewujudkan budaya hidup sihat, selain membantu meningkatkan imej Bandar Simanggang sebagai destinasi pelancongan yang bersih, selesa dan menarik.
Oleh Adi Safarman