MADRID: Perlawanan Real Madrid menentang Valencia dalam saingan La Liga hujung minggu ini ditangguhkan oleh Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) akibat banjir yang telah mengorbankan lebih daripada 95 orang.
Perlawanan Villarreal di laman sendiri menentang Rayo Vallecano turut ditunda selepas banjir kilat yang dahsyat melanda timur Sepanyol.
La Liga meminta RFEF untuk menangguhkan perlawanan Valencia dan Villarreal yang dijadual berlangsung pada Sabtu, serta tiga perlawanan divisyen kedua yang membabitkan pasukan dari kawasan yang terjejas.
“Persetujuan dicapai untuk menangguhkan perlawanan yang dijadualkan dimainkan dalam pertandingan profesional dan bukan profesional, baik dalam bola sepak 11 sebelah mahupun bola sepak dalam dewan (di wilayah Valencia),” kata RFEF dalam satu kenyataan.
Badan induk itu sudah menangguhkan beberapa perlawanan pusingan pertama Piala Raja Sepanyol pada pertengahan minggu, termasuk perlawanan Valencia menentang Parla Escuela.
Sesi bertafakur bagi menghormati mangsa banjir akan diadakan dalam semua perlawanan hujung minggu ini di Sepanyol, termasuk perlawanan antara pendahulu liga Barcelona dan Espanyol pada Ahad. – AFP