
TERPAMPANG pada poskad, Semporna yang terletak di pesisir tenggara Sabah menghadap Laut Celebes dijaja, sebagai destinasi dengan keindahan tiada tara yang harus dikunjungi.
Tertawan, ribuan pelancong, khususnya penyelam skuba dan snorkel, sanggup merentas beribu batu untuk menikmati kejernihan air laut dan terumbu karang yang memukau di pulau-pulau sekitar perairan ini.
Namun, sebaik menjejakkan kaki di satu daripada lima jeti di tanah besar, janji keindahan itu mula retak. Harapan untuk menghela kesegaran bayu laut berkecai ditusuk ketajaman bau diesel, sementara di bawah jeti pula sarat dengan botol plastik yang hanyut mengikut arus.
Andai tidak mahu keindahan percutian yang dihasratkan musnah sepenuhnya, pejamkan mata, naik bot laju dan terus ke pulau-pulau yang diinginkan.

SAMPAH
Bagi mereka yang berada di barisan hadapan industri pelancongan Semporna, pencemaran laut di kawasan itu adalah sesuatu yang mustahil untuk diabaikan. Aquila Chu, 41, seorang jurulatih selam skuba yang telah bertahun-tahun membawa pelancong antarabangsa ke tapak selaman bertaraf dunia seperti Pulau Sipadan, meluahkan rasa kecewanya akan keadaan itu.
Dia melihat sendiri bagaimana ekosistem yang menjadi tarikan pelanggannya kini dihimpit sisa domestik sehingga mendorongnya memberikan nasihat sinis kepada pelancong supaya “terus sahaja ke pulau”.
Yong Lip Khiong, seorang ketua selam (divemaster) dan pengarah program Sabah Diving Squad Club, berkata botol plastik yang dibuang ke laut kini menjadi “rumah” sementara hidupan marin.
Kesemua objek itu bukan sekadar mencacatkan pemandangan, tetapi turut menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan ke atas hidupan laut yang selama ini mengangkat nama Semporna ke persada dunia.
Selalunya, yang dipersalahkan atas masalah sampah terapung ini adalah komuniti Bajau tidak berdokumen dan tidak bernegara yang tinggal di perkampungan air sekitar Semporna.
(Tinjauan umum 2024 oleh Eastern Sabah Security Command mendapati daripada anggaran 28,000 ahli komuniti Bajau Laut di Semporna, hanya 6,200 orang diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.)
Namun, Chu mengetengahkan realiti pahit yang menolak naratif “kambing hitam” itu. Bagaimana mungkin komuniti yang terpinggir dapat diharapkan menjadi juara pemuliharaan laut sedangkan keperluan asas mereka sendiri tidak dipenuhi?
“Mereka tidak akan ambil peduli pasal alam sekitar kalau nak dapatkan air bersih pun jadi masalah bagi mereka. Punca isu ini bukan sekadar kekurangan kesedaran, tetapi ketiadaan infrastruktur perbandaran. Mereka tidak ada tempat untuk buang sampah,” katanya.
Otoh Lasa, 68, seorang nelayan yang tinggal di Kampung Air di sini, berkata mereka bukan suka-suka buang sampah merata-rata.
“Orang kata kami pengotor, tetapi 50 tahun lalu, semua (yang) kami buang ke laut berasal dari bumi – tulang ikan, kulit ubi, daun pisang. Laut ambil semula…dunia moden bawakan kami plastik, tetapi tidak beri kami cara untuk lupus. Laut tidak ‘menelan’ plastik,” katanya.
Dalam menangani pencemaran, pihak berkuasa bertindak dengan memberikan amaran keras atau mengedarkan risalah kesedaran, tetapi bagi Otoh dan komunitinya, ceramah tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya mereka memerlukan kemudahan logistik asas.
Otoh berkata mereka perlukan “bot sampah”, iaitu bot perbandaran yang membuat kutipan sampah berjadual setiap hari di perkampungan air sepertimana lori sampah yang berkhidmat di kawasan daratan. Mereka juga memerlukan tong sampah awam untuk ditempatkan di jeti-jeti.
Bekalan air paip bersih pula akan menangani masalah botol plastik. Pada masa ini komuniti itu membeli air minum di dalam botol plastik yang kemudian digunakan untuk menyimpan air hujan sebelum akhirnya dibuang sebagai sampah terapung dan menyesakkan perairan Semporna.
Walaupun penguatkuasaan lebih tegas dan intervensi pihak berkuasa tempatan amat penting dalam menangani isu sampah di Semporna, aktiviti pembersihan pantai berkala yang dijalankan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan turut menyumbang kepada pengurangan pencemaran.
Pada Oktober lalu, anak muda daripada Skuad Anak Sabah mencipta sejarah dengan mengutip 8,833.80 kilogram sampah di Semporna dan diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai kutipan sisa terberat oleh NGO di Malaysia.

EKONOMI YANG “DICURI”
Sementara itu, seorang menteri persekutuan mendedahkan satu lagi isu besar berkaitan industri pelancongan Semporna. Pekan ini menjana pendapatan pelancongan, tetapi sebahagian besar kekayaan itu tidak kekal di Sabah. Sebaliknya keuntungan yang diraih mengalir keluar ke tangan pihak asing.
Pada Februari lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali memberitahu media bahawa sebahagian besar daripada 81 premis penginapan di Semporna dikendalikan oleh syarikat asing. Sebahagiannya milik penuh mereka, sementara yang lain melalui “kerjasama” strategik dengan penduduk tempatan.
“Kita alu-alukan pelabur asing, tetapi kita juga perlu lihat apakah hasil yang kita dapat,” katanya, mengetengahkan kebimbangan tentang realiti di lapangan, terutama dari segi faedah ekonomi untuk Sabah.
“Mungkin mereka ada nilai dari segi rangkaian kerja yang membawa masuk pelancong, tetapi kita juga perlu lihat pada rantaian perniagaan itu.”
Armizan menegaskan sistem sedemikian berupaya menepukan perniagaan akar umbi dan tidak boleh dibiarkan berterusan sehingga tiada ruang untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana tempatan berkembang.
Pengusaha bot sewa khas tempatan berusia 45 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Azman, berkata amaran Armizan bukan cerita dongeng, sebaliknya satu realiti yang dihadapinya setiap hari.
Perniagaannya sendiri hanya dapat bertahan disebabkan oleh jumlah pelancong yang membanjiri Semporna sangat luar biasa. Namun, katanya, pengusaha tempatan sepertinya kini berdepan dengan “tembok halimunan” .
“Kami sekadar meneruskan kelangsungan hidup dengan bergantung pada pelancong bebas, backpacker dan pelancong domestik. Tetapi duit sebenar – kumpulan besar pelancong asing dengan pulangan lumayan – tertutup buat kami,” dedah Azman.
Setiap hari, dia hanya mampu melihat “rangkaian perniagaan tertutup” itu beroperasi di depan matanya di jeti pelancong.
“Pelancong tiba di lapangan terbang Tawau dan terus diambil oleh van milik asing. Mereka tidur di rumah tumpangan disewa bos dari luar, makan di restoran makanan laut khusus mereka dan menyelam menggunakan jurulatih import mereka sendiri,” katanya.
Dalam kitaran tertutup ini, lambakan wang pelancong tidak begitu menyentuh ekonomi akar umbi Semporna. Malah, apabila rangkaian ini memerlukan bot untuk aktiviti island-hopping, mereka hanya menyewa daripada syarikat disokong warga asing, meminggirkan Azman dan pengusaha rakyat Sabah.
“Mereka suap duit dengan tangan kiri dan ambil semula dengan tangan kanan. Dahulu, kamilah tuan rumah di tempat sendiri. Sekarang, kami perlahan-lahan ditolak ke pinggir jeti, hanya mampu melihat ringgit berlalu pergi tanpa setitik pun jatuh ke dalam komuniti tempatan,” keluhnya.
Walaupun pendapatannya stabil buat masa ini, Azman amat bimbang tentang masa depan usahawan tempatan sekiranya monopoli itu dibiarkan berleluasa tanpa kawalan.

JURULATIH SKUBA ASING
“Rampasan” ekonomi ini turut menembusi aktiviti yang menjadi daya tarikan teras Semporna, iaitu selam skuba. Menyuarakan kekecewaan mereka, Malaysia Scuba Diving Association (MSDA) berkata jurulatih skuba asing yang tidak berdaftar dan beroperasi secara haram menguasai pasaran tanpa rasa gentar.
Beroperasi dengan pendekatan “ali baba”, Presiden MSDA Aminor Azmi Abdul Latip berkata budaya itu “melemaskan” industri tempatan secara perlahan-lahan. Di atas kertas, pemegang lesen merupakan warga tempatan kerana itu adalah tuntutan perundangan, namun operasi sebenar dikawal oleh orang asing.
Beliau mendakwa jurulatih dan jurupandu selam asing terbabit bekerja tanpa permit, menyebabkan pengusaha tempatan kehilangan kawalan ke atas pasaran.
Walaupun penduduk tempatan memperoleh lesen selam secara sah melalui program yang disokong kerajaan negeri seperti “The Island Host”, mereka tidak dapat bersaing dengan operator asing yang menguasai pasaran.
Akibatnya, anak tempatan yang membesar di Laut Celebes kini hanya menjadi penonton, menyaksikan orang luar meraih keuntungan besar di perairan mereka sendiri.
Isu ini dibangkitkan dalam sesi libat urus pada 4 Mac antara pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Sabah serta persatuan pelancongan tempatan.
Aminor turut membangkitkan kebimbangan akan keselamatan pelancong, khususnya standard latihan skuba dalam kalangan sebahagian jurulatih asing.
“Kurangnya kawalan (ke atas aktiviti jurulatih asing) ini berisiko membawa kepada kemalangan maut pada masa akan datang,” katanya.
Menurutnya lagi, ada penyedia pelancongan beroperasi tanpa lesen KPL yang dikeluarkan MOTAC kepada pengusaha dan ejen pelancongan.
“Sukar untuk difahami bagaimana syarikat ini boleh beroperasi tanpa lesen, walaupun sistem operasi jeti dalam talian telah dilaksanakan,” tambahnya.
Mengulas situasi itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Jafry Ariffin menegaskan industri pelancongan Semporna tidak boleh dibiarkan menjadi “ekonomi enklaf” di mana keuntungan dibawa keluar dari wilayah itu dan penduduk tempatan hanya menerima manfaat minimum.

ILUSI KESELAMATAN
Namun, beliau berkata perkara itu mesti dinilai secara menyeluruh, berdasarkan fakta serta kepentingan ekonomi jangka panjang Sabah.
Katanya Sabah mengalu-alukan pelaburan asing kerana rangkaian global dan akses pasaran merupakan pemacu penting pertumbuhan pelancongan, namun pelaburan itu mesti memberikan manfaat yang jelas kepada Sabah, memperkukuh penyertaan tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah serta memastikan limpahan ekonomi yang bermakna buat komuniti.
Dalam jawapan bertulisnya kepada soalan yang dikemukakan oleh Bernama susulan laporan sebahagian besar daripada 81 premis penginapan di Semporna dikendalikan oleh syarikat luar, Jafry berkata kementeriannya telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pemantauan Industri Pelancongan Semporna yang dianggotai agensi negeri berkaitan, pihak berkuasa tempatan (PBT), pemain industri dan wakil komuniti.

Beliau berkata objektif utama pasukan petugas ini adalah untuk menyelesaikan isu pelancongan Semporna secara menyeluruh dan bukan secara reaktif, melalui pendekatan sistematik yang menyelaraskan peranan, bidang kuasa serta penguatkuasaan antara agensi berkaitan.
Tambah beliau, pihaknya juga memandang serius isu premis pelancongan dan resort yang beroperasi tanpa lesen di daerah Semporna.
Dalam satu mesyuarat pasukan petugas itu di Majlis Daerah Semporna baru-baru ini, Jafry yang mempengerusikan mesyuarat tersebut menggesa tindakan segera diambil bagi menangani operasi pelancongan tanpa lesen di daerah berkenaan.
Beliau berkata berdasarkan rekod semasa, sebanyak 190 premis pelancongan telah dikenal pasti beroperasi namun hanya 45 premis memiliki lesen sah.

Sebanyak 59 premis lagi masih dalam proses kelulusan, sementara 86 premis pula didapati tidak mengambil sebarang inisiatif untuk mendapatkan lesen sah atau berdepan pelbagai isu pematuhan.
Isu utama yang dikenal pasti termasuk kegagalan mendapatkan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) atau Sijil Kelayakan Menduduki (OC), selain masalah berkaitan status tanah.
“Resort tanpa sijil-sijil ini tidak mempunyai sistem kumbahan yang diluluskan secara sah. Vila mewah mereka pada hakikatnya merupakan struktur tidak dikawal selia yang membuang sisa terus ke laut, menjadi punca utama pencemaran alam sekitar di Semporna,” kata Jafry.
Beliau turut menjelaskan tindakan penguatkuasaan ke atas pengendali resort haram ini terletak di bawah bidang kuasa PBT, bukan kementerian pelancongan negeri.
Selama bertahun-tahun, pengusaha resort lolos undang-undang alam sekitar negeri yang ketat dengan bergantung pada lesen sementara yang dikeluarkan oleh PBT berkaitan.
Jafry berkata kerajaan negeri telah mengarahkan PBT supaya menghentikan serta-merta pengeluaran permit sementara kepada premis yang tidak memenuhi keperluan peraturan sedia ada.
“Pengendali haram kini mempunyai kurang daripada dua bulan untuk mematuhi piawaian pembinaan dan keselamatan atau berdepan penutupan secara paksa,” katanya.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik Sabah Datuk Roger Chin, tindakan tegas itu tidak boleh ditangguhkan lagi, sambil menegaskan bahawa Semporna tidak boleh bergantung pada keindahan semula jadinya semata-mata.
“Pelancong semakin sedar. Jika sikap tidak mengendahkan keselamatan, kebersihan dan undang-undang tempatan ini berterusan, reputasi Semporna akan musnah sepenuhnya dan gelombang pelancong yang menguntungkan akan lenyap begitu sahaja,” katanya.
Persoalannya, dapatkah Semporna dikembalikan statusnya sebagai sebuah syurga dunia? Atau gelombang ketamakan terus melanda, memaksa individu seperti Otoh, Azman serta penduduk tempatan lain mengutip sisa-sisa sebuah firdausi yang telah musnah. – Bernama