
KUALA LUMPUR: Beberapa sekolah berhampiran lokasi Sidang Kemuncak ASEAN 2025 wajar diberikan cuti peristiwa bagi menjamin kelancaran acara serantau itu selain memastikan keselamatan dan keselesaan semua pihak terlibat.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata pemberian cuti peristiwa itu bukan sahaja praktikal kepada pengurusan trafik dan logistik malah memberi kelegaan kepada ibu bapa serta guru yang tidak perlu berhadapan dengan kesesakan lalu lintas.
“Sidang Kemuncak ASEAN biasanya melibatkan banyak aktiviti yang mengubah laluan dan lalu lintas, dengan kawasan sekitar mungkin dikawal ketat. Jadi pemberian cuti peristiwa membantu mengelakkan kesesakan lalu lintas yang boleh menyebabkan pelajar lewat atau terperangkap dalam keadaan berbahaya, selain memberi keselesaan kepada pelajar dan guru,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata cuti peristiwa itu juga boleh dianggap satu bentuk penghormatan kepada peranan Malaysia sebagai tuan rumah selain meningkatkan kefahaman murid tentang kepentingan ASEAN yang memberi banyak manfaat untuk negara anggota termasuk ekonomi, politik dan sosial.
Mohamad Ali juga menganggap cuti peristiwa sebagai langkah relevan berbanding pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), yang kadang kala terbatas oleh akses teknologi dan jurang digital terutamanya bagi keluarga berpendapatan rendah.
Mohamad Ali turut menegaskan bahawa cuti peristiwa hanya disarankan kepada sekolah yang benar-benar terlibat atau berada berhampiran lokasi mesyuarat utama ASEAN dan tidak membabitkan penutupan secara menyeluruh di seluruh negara.
Mengikut Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 (Pindaan) 2021, cuti peristiwa merujuk kepada hari diluluskan oleh Pendaftar sebagai hari cuti berdasarkan permohonan oleh guru besar atau pengetua disebabkan oleh apa-apa majlis rasmi sekolah atau perayaan, termasuk sambutan, upacara atau perayaan keagamaan sama ada yang diwartakan oleh kerajaan atau tidak.
Guru besar atau pengetua boleh menentukan hari tertentu sebagai cuti peristiwa yang tidak melebihi empat hari dalam mana-mana kalendar akademik.
Sekiranya guru besar atau pengetua mengemukakan sebab munasabah dan praktik, Pendaftar boleh mempertimbangkan untuk meluluskan lebih daripada satu hari cuti peristiwa bagi sesuatu majlis rasmi sekolah atau perayaan.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.
Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) supaya mempertimbangkan pendekatan bersasar demi memastikan proses pembelajaran tidak terjejas.
Setiausaha Agung NUTP Fouzi Singon berkata kerajaan boleh mempertimbangkan agar hanya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 hadir untuk mengikuti kelas secara bersemuka manakala pelajar lain boleh mengikuti PdPR.
“Ini memandangkan mereka bakal menghadapi ujian percubaan SPM tidak lama lagi dan perlu mengejar sukatan pelajaran… jadi waktu ini sangat penting bagi mereka.
“Bagi pelajar lain, kaedah PdPR boleh dilaksanakan dan ini tidak hanya melibatkan dalam talian semata-mata sebaliknya menyediakan modul atau tugasan kepada pelajar dengan komunikasi lebih minimum kepada murid,” katanya.
Mengenai cadangan cuti peristiwa, Fouzi berkata penutupan sekolah secara menyeluruh adalah kurang efektif kerana ia boleh menjejaskan usaha mengejar silibus dan menyebabkan kerugian masa kepada guru serta murid.
Beliau berharap KPM dapat mengeluarkan garis panduan lebih awal agar pihak sekolah dapat membuat persediaan sewajarnya menjelang persidangan itu.– Bernama