
KUCHING: Laluan sempadan Tebedu-Entikong bakal menjadi pemangkin perdagangan serantau apabila Kerajaan Republik Indonesia bersetuju membuka sempadan tersebut khusus bagi urusan perniagaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu menandakan kejayaan penting hasil pertemuan dua hala antara Malaysia dan Indonesia baru-baru ini.
“Pada mesyuarat dua hala tersebut, saya telah dijemput oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berjumpa dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di mana saya mengambil peluang untuk membincangkan hal di sempadan Tebedu-Entikong.
“Pihak berkuasa Indonesia bersetuju membuka Tebedu dan Entikong sebagai laluan perdagangan di mana, Presiden Prabowo menyatakan persetujuan agar sempadan berkenaan dibuka untuk urusan perniagaan meskipun pada awalnya mereka tidak bersetuju.
“Melalui Tebedu dan Entikong, ia akan menjadi titik perdagangan penting yang menghubungkan kedua-dua negara,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Hostel Komuniti Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dan sambutan ulang tahun ke-70 persatuan berkenaan semalam.

Abang Johari menambah, kejayaan ini akan membuka peluang perniagaan yang lebih besar kepada Sarawak malah kepada penduduk di sekitar Tebedu.
Bagi konteks kerjasama antara dua kerajaan ini, beliau memberitahu bahawa Indonesia telah meminta kerajaan Sarawak untuk menambah bekalan tenaga dari Lubok Antu ke Badau.
“Ini bermakna kita perlu meningkatkan bekalan kuasa ke Indonesia dan hal itu akan menjadi asas untuk kita bekerjasama dengan Indonesia.
“Oleh itu, dari sudut ekonomi, pertanian dan juga perdagangan, terdapat banyak peluang yang boleh kita manfaatkan untuk membangunkan ekonomi bersepadu dalam ASEAN,” ujar beliau lagi.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Penasihat DBNA, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil dan Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep serta tetamu kenamaan yang lain.
-UKAS