Seminar wanita perkasa institusi keluarga, wanita Sarawak

Facebook
WhatsApp
DATUK Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali ketika hadir pada Seminar Wanita ‘Keluarga Idaman Wanita: Bahagia Hingga Ke Syurga’ di Auditorium Wisma Sabati, hari ini.

PETRA JAYA: Seminar Wanita ‘Keluarga Idaman Wanita: Bahagia Hingga Ke Syurga’ bukan sahaja menjadi platform meningkatkan kefahaman wanita mengenai institusi keluarga, malah turut memberi pendedahan mengenai pelbagai inisiatif kerajaan Sarawak dalam memperkasakan golongan berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang MA63 dan Hubungan Negeri Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 300 peserta hadir bagi mengikuti pengisian ilmu yang berlangsung dari pagi hingga tengah hari.

Menurutnya, seminar itu merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk SIKMA, Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS), Baitulmal dan beberapa individu dalam usaha memperkasakan wanita dari pelbagai aspek.

“Ini merupakan kolaborasi yang begitu baik sekali dan insya-Allah pada masa akan datang, kita akan terus pastikan agar kita dapat bekerjasama dengan lebih banyak NGO yang ada di Sarawak ini untuk menganjurkan program yang boleh memperkasakan wanita.

“Bukan sahaja dari sudut perniagaan ataupun kemasyarakatan, tetapi dalam keluarga dan pentadbiran,” katanya ketika ditemui media selepas seminar berkenaan di Auditorium Wisma Sabati, di sini, hari ini.

Sharifah Hasidah berkata, pengisian seminar turut menekankan kepentingan komunikasi yang baik antara pasangan, termasuk membudayakan ucapan mudah seperti ‘awak okay tak?’, ‘terima kasih’ dan ‘minta maaf’ dalam kehidupan berumah tangga.

Katanya, wanita juga perlu belajar mengawal emosi dan melihat perkara positif dalam diri pasangan bagi membantu mewujudkan keluarga yang lebih harmoni.

“Dalam majlis ilmu seperti ini, walaupun kita hanya mengambil sedikit perkara daripada apa yang disampaikan, kita perlu cuba praktikkan dalam kehidupan seharian.

“Antara perkara yang saya ambil daripada ceramah hari ini ialah pentingnya bertanya kepada suami ‘Adakah awak okay?’, mengucapkan terima kasih, meminta maaf dan mengawal emosi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan Sarawak turut menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu wanita dan keluarga, antaranya Bantuan Ibu Melahirkan (BIM) sebanyak RM1,000 bagi setiap kelahiran.

Selain itu, katanya, terdapat bantuan berkaitan tempoh berpantang sebanyak RM450, Bantuan Isi Rumah Wanita Sarawak sebanyak RM1,000 secara sekali bayar kepada Ketua Isi Rumah Wanita atau ibu tunggal serta Geran Pemerkasaan Wanita Sarawak berjumlah RM5,000 bagi membantu wanita yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Sharifah Hasidah berkata, pelbagai inisiatif berkenaan mencerminkan usaha kerajaan Sarawak untuk membantu meningkatkan kesejahteraan wanita dan keluarga di negeri ini.

Beliau berkata, program seperti seminar berkenaan wajar diteruskan kerana mampu menjadi medium untuk wanita menimba ilmu, berkongsi pandangan dan memahami peranan masing-masing dalam membina keluarga yang bahagia.

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Toh Puan Hayati Ahmad dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan seminar berkenaan.

Beliau berkata, kerjasama strategik antara agensi kerajaan, badan kebajikan, pertubuhan wanita dan NGO perlu diperkukuh bagi memastikan lebih banyak program yang memberi manfaat kepada golongan wanita dapat dilaksanakan pada masa akan datang.

Oleh Shikin Mahmud