
MUKAH: Seramai 160 peserta terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi dan ahli Skuad Antidadah IPT menyertai Seminar Skuad Antidadah Siri 1/2025 yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama, Politeknik Mukah Sarawak (PMU), di sini, baru-baru ini.
Program yang diadakan pada 10 September lalu itu merupakan anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Pelajar (HEP) Politeknik Mukah dan Skuad Antidadah Daerah Mukah.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penglibatan golongan belia sebagai barisan hadapan amat penting dalam usaha membebaskan masyarakat daripada ancaman dadah.
Katanya, kesedaran sejak di bangku pengajian akan melahirkan generasi yang berdaya tahan dan mampu menolak pengaruh negatif.

Royston Valentine; wakil Pengarah AADK Sarawak, Tuan Hajeman dan Ketua Daerah AADK Mukah, Fely Nora (kanan)
Seminar ini memberi tumpuan kepada pendedahan maklumat terkini berkaitan bahaya dadah, kemahiran menolak tekanan rakan sebaya serta pembentukan jati diri dalam kalangan belia.
Melalui sesi interaktif dan perkongsian pengalaman, para peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu, malah menanam semangat kesukarelawanan untuk tampil sebagai agen perubahan di komuniti masing-masing.
Program berkenaan juga memberi impak signifikan kepada pelajar dengan menggalakkan gaya hidup sihat serta memperkukuh peranan Skuad Antidadah sebagai rakan strategik AADK dalam usaha membentuk masyarakat sejahtera dan bebas daripada gejala dadah.
Turut hadir, Pengarah Politeknik Mukah Suhaili Aleh, wakil Pengarah AADK Sarawak Tuan Hajeman, Ketua Daerah AADK Mukah Fely Nora, dan Pengerusi Skuad Antidadah Daerah Mukah, Tuan Harris Abdullah.