
MARUDI: Seramai 150 peserta menyertai Seminar Promosi Tanaman Lada yang berlangsung di Dewan Surau Nur Ihsan, Kampung Pemindahan Marudi di sini, hari ini.
Program anjuran Lembaga Lada Malaysia (MPB) ini bertujuan mempromosikan tanaman lada ke seluruh pelosok negara serta menjadi platform perkongsian ilmu kepada para pengusaha lada demi memacu pertumbuhan industri lada negara.
Pengerusi Lembaga Lada Malaysia dan Ahli Parlimen Baram, Dato’ Anyi Ngau, memaklumkan sehingga suku ketiga 2025, seramai 39,578 pengusaha lada berdaftar di bawah Sistem E-Pekebun dengan keluasan tanaman kira-kira 8,307.34 hektar.
Daripada jumlah itu, 802 pekebun lada adalah dari Bahagian Miri dengan keluasan 101.51 hektar, manakala 101 pekebun dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi mengusahakan tanaman seluas 16.23 hektar.

Dato’ Anyi turut menegaskan bahawa industri lada negara semakin mendapat perhatian syarikat pembeli luar negara dan menerima sambutan baik daripada pelbagai pihak yang berminat menjalin kerjasama untuk memperkukuh daya saing industri lada negara.
Beliau turut berkongsi bahawa sejak pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada 2021 hingga September 2025, seramai 174 pekebun lada di Bahagian Miri telah menerima manfaat melalui Skim Bantuan Lada Baru (STLB) dengan keluasan tanaman 22 hektar dan nilai bantuan sekitar RM855,360.
Bagi kawasan DUN Marudi, 23 pekebun menerima bantuan STLB bagi keluasan 2.6 hektar dengan nilai bantuan dianggarkan RM89,976.
Sementara itu, Skim Tanaman Lada Matang (STLM) pula telah memberi manfaat kepada 509 pekebun lada di Bahagian Miri dengan keluasan 62 hektar dan nilai bantuan kira-kira RM1,178,000.
Di DUN Marudi, 78 pekebun menerima bantuan STLM melibatkan keluasan 8.8 hektar dan anggaran nilai bantuan sebanyak RM175,600.

Dato’ Anyi menggesa orang awam terutama golongan belia di Bahagian Miri yang berminat untuk menceburi tanaman lada supaya menghubungi pejabat MPB Cawangan Miri bagi mendapatkan bimbingan dan khidmat nasihat lanjut.
Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia, Vincent Sawat, wakil Pejabat Residen Miri dan Pejabat Daerah Marudi, Reagan Edwin, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Lada Malaysia, Florence Sanjan dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Lembaga Lada Malaysia, Apoi Wan.
Oleh Jiku Juguong