
Foto Kolej Komuniti Sarikei
SIBU: Kolej Komuniti Sarikei terus komited memperkasa budaya penyelidikan dalam kalangan warga pendidiknya menerusi penganjuran HoTour’25: Seminar Pembentangan dan Penyelidikan, yang berlangsung secara dalam talian baru-baru ini.
Seminar bertemakan “TVET, Hospitaliti dan Pelancongan di Era Kecerdasan Buatan” itu menghimpunkan tujuh orang pensyarah yang membentangkan hasil penyelidikan masing-masing dalam bidang hospitaliti, pelancongan, teknologi digital, dan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Victorious Travel & Tours Sdn. Bhd., Loh Ann Na, yang turut menyampaikan ucapan dasar bertajuk “Menerapkan Teknologi untuk Industri Pelancongan yang Berdaya Tahan.”
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) bukanlah satu ancaman, sebaliknya merupakan peluang untuk memperkukuh daya saing industri pelancongan negara.
“Kecerdasan buatan bukan ancaman, sebaliknya peluang untuk memperkasa sektor pelancongan dengan inovasi dan kecekapan,” katanya.
Setiap pembentangan kertas kerja dalam seminar tersebut turut dinilai secara profesional oleh dua panel akademik berpengalaman, iaitu Dr. Jamaah Suud dan Dr. Chen Wong Keong.
Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Sarikei, Norasmah Jaafar, berkata penganjuran seminar ini merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan tahap kompetensi dan daya saing graduan TVET di Sarawak.
“Budaya penyelidikan dalam kalangan pensyarah perlu diperkasa supaya kita dapat menghasilkan graduan TVET yang lebih kompeten, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran era digital,” ujarnya.
Penganjuran seminar ini, katanya lagi, secara tidak langsung memperkukuh ekosistem penyelidikan akademik Kolej Komuniti Sarikei, di samping menyokong pembangunan pelancongan pintar selaras dengan aspirasi negeri.
Oleh Tarani Lanting