SEOUL: Korea Utara pada Ahad dilaporkan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pos kawalan sempadan Korea Selatan di Zon Bebas Tentera (DMZ).
Ia mendorong Korea Selatan untuk melakukan serangan balas, namun menurut seorang pegawai tembakan Korea Utara itu seakan-akan tidak disengajakan.
Berdasarkan maklumat anggota tentera yang bertugas, kedengaran bunyi tembakan kira-kira pukul 7.41 pagi dan kemudian menemukan empat kesan tembakan pada dinding pos pengawal di sempadan Cheorwon, menurut Ketua Turus Bersama Korea Selatan, lapor agensi berita Yonhap.
Berikutan itu, tentera Korea Selatan melepaskan tembakan balas – dan mengeluarkan amaran. Setakat ini tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.
“Kami juga menghantar pemberitahuan kepada pihak Korea Utara melalui saluran komunikasi kira-kira 9.35 pagi serta meminta penjelasan,” kata seorang pegawai JCS. Korea Utara belum memberi sebarang maklum balas setakat ini.
Tentera Korea Selatan masih menjalankan siasatan terperinci dan pegawai berpendapat ia satu provokasi yang tidak disengajakan.
Pihak berkuasa Korea Selatan menjelaskan kejadian itu melanggar perjanjian ketenteraan dua hala yang ditandatangani pada September 2018 dan mendesak Korea Utara mematuhi sepenuhnya perjanjian berkenaan.
Insiden itu pertama kali dilaporkan berlaku sejak 2017- Bernama