KABONG: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kabong menyelar tindakan tidak bermoral individu yang sengaja merosakkan kain rentang dan poster Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sini.
Ketua Pemuda PBB Cawangan N.40 Kabong, Shukeri Kipeli kesal dengan perbuatan khianat itu, gara-gara taksub parti tertentu sehingga sanggup melakukan tindakan tidak bertanggungjawab itu.
“Lebih menyedihkan apabila gambar Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS disembur dengan cat dan poster calon GPS turut dirosakkan.
“Kami (PBB Kabong) melahirkan rasa kecewa kenapa pihak terbabit tidak boleh berkempen secara adil dan bersih. Bertandinglah secara adil kerana itu membuktikan anda adalah seorang yang profesional dalam politik,” katanya.
Shukeri berkata satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kabong untuk kes ini disiasat oleh pihak berkuasa.
“Justeru, kita tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa membuat laporan polis,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir ketika dihubungi berharap agar politik sihat diamalkan pada musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
“Perbuatan tidak bertanggunjawab ini tidak boleh diterima dalam sebuah negara demokrasi. Namun kita dalam GPS-PBB tidak akan melakukan perkara seperti itu kerana kita hormati hak demokrasi,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN