TENTERA Ukraine mengadakan latihan di rantau Dnipropetrovsk pada 8 Februari lalu. • Foto AFP
WASHINGTON: White House memberi amaran bahawa serangan Rusia ke atas Ukraine yang didahului oleh pengeboman dari udara dan bedilan peluru berpandu boleh berlaku pada bila-bila masa sekarang dan mengarahkan rakyat Amerika Syarikat (AS) meninggalkan negara berkenaan dalam tempoh 48 jam.
“Kami berterusan melihat tanda-tanda peningkatan persediaan untuk menyerang oleh Rusia termasuk pasukan tentera tambahan yang tiba di sempadan Ukraine,” kata Penasihat Keselamatan Negara, Jake Sullivan.
Menurutnya, pegawai-pegawai AS kini percaya Moscow tidak akan menangguhkan pencerobohan terhadap Ukraine sehingga selepas Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing seperti yang diyakini oleh sesetengah pihak.
“Pandangan kami jelas. Tindakan ketenteraan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja dan ia boleh berlaku sebelum Sukan Olimpik berakhir. Kemungkinan perang tercetus adalah amat jelas,” kata Sullivan kepada pemberita di White House.
Bagaimanapun, Sullivan belum berani menyatakan bahawa Washington percaya Presiden Vladimir Putin sebenarnya sudah memutuskan untuk menyerang Ukraine.
Biarpun begitu, nada dan bahasa yang digunakan oleh White House mengenai kemungkinan perang tercetus di Eropah adalah lebih tegas dan serius berbanding beberapa hari lalu.
Ketika Moscow menempatkan lebih 100,000 askar dan pelbagai peralatan ketenteraan di sempadan Rusia-Ukraine, Sullivan mengarahkan rakyat AS di Ukraine untuk segera meninggalkan negara itu sementara boleh berbuat demikian.
“Pencerobohan boleh bermula pada bila-bila masa sahaja sekiranya Vladimir Putin memutuskan untuk mengarahkannya, bahkan ia boleh berlaku semasa Sukan Olimpik.
“Sekiranya pencerobohan Rusia ke atas Ukraine diteruskan, ia berkemungkinan bermula dengan pengeboman dari udara dan serangan peluru berpandu yang nyata akan membunuh orang awam,” jelasnya.
Biden sudah bercakap dengan Putin sebanyak dua kali dan memberi amaran sekatan ekonomi yang teruk akan dilaksanakan terhadap Rusia sekiranya Moscow menyerang Ukraine. – AFP