Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Sembilu Reunion buktikan magis tiga dekad masih berbisa
  • HIBURAN

Sembilu Reunion buktikan magis tiga dekad masih berbisa

Utusan Sarawak 5 hours ago
PENAMPILAN Erra Fazira, Awie dan Ziana Zain.
Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Filem Sembilu yang pernah mencetus fenomena dan memberi impak besar kepada industri hiburan tempatan pada era 90-an, nyata masih segar di ingatan peminat walaupun sudah lebih tiga dekad ditayangkan.

Buktinya, Sembilu The Reunion Live In Concert berjaya mengembalikan magis filem itu apabila tiga pelakon utamanya, Datuk Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain sekali lagi bersatu di atas satu pentas, mencetus aura luar biasa yang menghangatkan Axiata Arena, Bukit Jalil.

Biarpun sebelum ini ada yang mempertikaikan akan kemampuan Sembilu The Reunion Live In Concert  untuk mengulangi fenomena pecah panggung naskhah ikonik karya Datuk Yusof Haslam itu, namun malam Sabtu menjadi bukti legasi cinta dan muzik karya tersebut tetap hidup, tidak terhakis dek masa.

PERSEMBAHAN Awie.
Foto Bernama

Walaupun hujan membasahi kota, kehadiran lebih 10,000 peminat daripada pelbagai lapisan usia seawal tujuh petang, membuktikan kerinduan mereka untuk bersama-sama mengimbau kisah cinta tragis antara Awie, Wati serta Ziana  dalam filem box-office dengan runut bunyi yang terus malar segar merentas zaman.

Membuka tirai persembahan tepat 8.45 malam dengan kejutan simbolik mengimbau babak naskhah romantik itu menerusi kemunculan tiga anak bintang popular, Engku Aleesya, Putra Ahmad Merrah dan Kasih yang melakonkan semula watak ibu bapa mereka, sekali gus mengundang sorakan gemuruh penonton. 

Sorotan pembukaan itu menjadi jambatan emosi sebelum pentas benar-benar semakin terasa kehangatannya dengan paduan tiga suara penyanyi tersohor ini, Awie, Ziana  dan Erra menerusi lagu Rock N Roll Ronda-Ronda, Sangkar Cinta dan Jendela Hati sebelum gelanggang mula beraksi solo.

ANTARA penonton yang hadir pada Sembilu The Reunion Live In Concert.
Foto Bernama

Dengan menyatukan segenap ruang arena dalam satu memori bersama, malam semakin galau sebaik vokalis kumpulan Wings yang juga raja rock negara ini tampil melantunkan lagu hit filem itu serta naskhah lain menerusi karya Di Ambang Wati, Di Penjara Janji, Ukiran Jiwa serta Ratuku.

Bijak dan matang mengemudi emosi agar tidak larut dalam nostalgia, Awie yang juga terkenal dengan sifat humornya itu secara bersahaja membawa peminatnya mengimbau kembali kisah percintaan bersama watak Wati yang dilakonkan Erra dalam Sembilu yang akhirnya menjadi realiti di luar penggambaraan. 

“Lakonan (percintaan dengan Erra) jadi betul (di luar), alamak. Minta maaf ya Mr E (suami Era), kita kawan. Saya baru mengenali Mr E, orangnya sangat bagus (dan) saya doakan jodoh ini berpanjangan. Saya tiga kali kahwin, Era pun sama, jadi kita sama adil, saksama dan sama rata,” katanya disambut gelak tawa penonton.

Bagaikan tidak mahu mengalah, kehangatan konsert kian memuncak apabila primadona tanah air yang anggun bergaun biru mengambil alih pentas, membalas seloroh Awie dengan gaya bersahaja sebelum mengalunkan Yang Terindah Hanyalah Sementara.

“Kalau dulu Awie tidak buat hal, mungkin tidak. Sekejap lagi, kita cakap dengan dia ya, Encik suami, I love you,” kata  Ratu Cantik Malaysia World 1992 itu, memperlihatkan kematangan dan profesionalisme mereka dalam mengekalkan persahabatan meskipun pernah berkongsi sejarah peribadi yang panjang.

Biarpun begitu, suasana malam itu menjadi hiba sebaik Ziana atau pemilik nama Siti Roziana ini gagal menahan sebak dan dilihat mengalirkan air mata selepas mengalunkan lagu Berpisah Jua, Puncak Kasih dan Setiaku Di Sini, susulan kehilangan kedua-dua ibu bapanya dalam tempoh singkat. 

Pemergian ayahnya, Zin Abdullah pada 26 Ogos manakala ibunya, Robiah Abdul pada 25 Disember lepas, membuatkan anak kelahiran Merlimau, Melaka ini mengakui berada dalam fasa sukar selepas kehilangan kedua-dua ibu bapanya. 

“Saya kena harung dalam masa empat bulan. Kena nyanyi Konsert Empat dan Konsert Reunion Sembilu. Ya Allah, kak Gee menahan sahaja sebenarnya, kak Gee ingat boleh (tahan) tetapi kalah. Tapi kehidupan kena diteruskan, Allah maha kaya,” katanya sambil disambut sorakan semangat peminatnya sebelum mendendangkan lagu magisnya, Madah Berhelah. 

Nyata malam itu tidak sekadar menyorot kembali nostalgia fenomena karya epik itu akan tetapi juga, menjadi medan buat trio legenda ini menzahirkan penghargaan kepada pengarah yang juga diberi gelaran Six Million Dollar Man, Yusof, individu yang membuka ruang seni kepada mereka dalam dunia seni layar. 

Dengan mempersembahkan lebih daripada 20 lagu sepanjang hampir tiga jam beraksi antaranya, Senja Nan Merah, Pasrah, Hanya Di Mata, Kemelut Di Muara Kasih,  konsert anjuran Ideatelier ini semakin padu dengan iringan maestro muzik tersohor, Aubrey Suwito.

Malam berakhir bukan hanya dengan kepuasan tetapi juga debar harapan, akan apakah Sembilu bakal kembali bernyawa dalam naskhah ketiga sebagaimana dibayangkan pengarahnya, sekali gus menjadi penantian bermakna buat pencinta karya tersebut. – Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Kaka Azraff, Insomniacks hiburkan ribuan pengunjung Hari Keselamatan Internet 2026

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.