KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Multimedia Authority (SMA) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk menyediakan sambungan internet fiber-optik 100 Mbps ke sembilan taman negara di seluruh Sarawak.
Ia termasuk Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Taman Negara Bako, Taman Negara Gunung Gading, Taman Negara Tanjung Datu, Taman Negara Kubah, Pusat Hidupan Liar Matang, Taman Negara Simalaju, Taman Negara Niah dan Taman Negara Gunung Lambir yang dijangka siap menjelang Julai 2021.
Semalam telah berlangsung majlis pelancaran sambungan internet pantas tersebut di di Pusat Hidupan Liar Semenggoh yang telah dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SFC Zolkipli Mohamad Aton, Hidupan Liar Semenggoh telah cuba menyediakan penstriman langsung beberapa hari lalu dan berjaya mencapai 1,000 tontonan.
“Dengan taman mengehadkan jumlah pelawat ketika ini, kita lakukan ‘streaming’ secara langsung masa memberi makanan dan melihat orang utan ketika berada di rumah. Mereka mungkin boleh datang ke sini selepas pandemik (Covid-19).
Sementara itu, Pengurus Besar SMA, Dr. Zaidi Razak, dalam komennya menyatakan bahawa peranan strategik SMA adalah untuk memudahkan pengalaman pelancongan yang lebih kaya dalam bentuk augmented reality (AR).
“Ini dengan memastikan peningkatan kapasiti jalur lebar di taman negara, memanfaatkan perkongsian dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan pihak berkepentingan, sehingga menjadikan kepelbagaian biodiversiti kita menjadi aliran pendapatan baru bagi Negara,” jelasnya.
Sempena Hari Orang Utan Sedunia yang jatuh pada 19 Ogos setiap tahun dan disambut di seluruh dunia, Perbadanan Pembangunan Industri Kayu Sarawak (STIDC) dan Persatuan Kayu Sarawak (STA) telah menyerahkan sumbangan masing-masing sebanyak RM 50,000 kepada SFC untuk pemuliharaan orang utan dan peningkatan kemudahan di pusat tersebut.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang, ADUN Stakan Dato Sri Mohammad Ali Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton.
Oleh Zarina Abdullah