
SIBU: Majlis resepsi perkahwinan anak Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, iaitu Aziq Azizi Ahmad Johnie dan Nurul Farhana Ati, yang berlangsung di Grand Jasmine Ballroom, Hotel RH, malam ini, berlangsung meriah dengan kehadiran tetamu kenamaan.
Antaranya ialah Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad serta tetamu kenamaan lain yang kemudian melakukan upacara tepung tawar dan merenjis air mawar kepada pasangan itu.
Majlis dihadiri oleh tetamu jemputan terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama dimeriahkan lagi dengan persembahan artis antaranya ialah Shidi Data dan Sibu Busker.
Aziq, 31, seorang jurutera, merpakan anak kepada pasangan Ahmad Johnie dan Maimunah Jaron manakala Farhana, usahawan kek lapis, anak kepada pasangan Ati Kadi dan Lena Assim.

Sembilan tahun yang lalu, pada 16 Mei 2016, hubungan pertama mereka terjalin melalui seorang sahabat.
Hari demi hari berlalu, bulan bertukar bulan, dan tahun terus berganti. Mereka semakin kerap berbalas mesej, semakin serasi, semakin dekat, dan semakin mengenali isi hati masing-masing.
Perasaan tidak lagi sekadar sebagai teman atau sahabat, malah bertukar menjadi sayang dan kasih yang mendalam.
Saat yang dinantikan itu akhirnya tiba, mereka membuat keputusan untuk menjadi pasangan sehidup semati, saling menemani dalam cinta dan membina kebahagiaan bersama.

Aziq dan Nurul Farhana selamat diijabkabul pada 13 Disember lalu di Dewan Serbaguna, Semop dan bersanding di Cinta Villa, Kampung Tian, Matu, keesokannya.


Oleh Akun Giman