
SIMANGGANG: Seramai sembilan petinju daripada Kelab Tinju Tidal Bore (TBBC) Sri Aman bakal berentap di pentas akhir Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak Edisi Ke-4 yang berlangsung di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, malam ini.
Antara yang akan beraksi ialah Mohd Zulkarnain Iswandy (52kg), Lazelrius Chung Hua Seng (60kg), Tristan Aeden Minggu (71kg), Muhammad Irfan Mohamad Ishak (54kg), Mohammad Rozmey Abdullah Roslan (63kg), Mohammad Zakwan Kamaruddin (57kg), Darryk Sendy (42kg), serta Mohamad Nur Faiz Mohammad Taib (44kg).
Turut menjadi tumpuan adalah penyertaan tunggal petinju wanita TBBC, Eurenia Joachin, yang akan beraksi dalam kategori Light Welter (63kg).

Aksi final akan dimulakan dengan pertembungan Darryk Sendy menentang Muhammad Arif Ariffin Khalik dari Akademi Tinju Joe’s (JAB) Sibu dalam kategori 42kg pada jam 6 petang. Pertarungan ini bakal membuka gelanggang untuk beberapa perlawanan sengit selepas itu.
Dalam kategori 44kg, Mohamad Nur Faiz bakal berdepan cabaran Lemuel Marupei Salim dari Kelab Tinju Joseph Harry (JHBC) Saratok. Sementara itu, Mohd Zulkarnain Iswandy akan menentang Cyrill Cyventxaxier Engkalil dari Persatuan Peninju Tinju Sarawak (PPTS) dalam kategori 52kg.
Kategori 54kg menyaksikan Muhammad Irfan berdepan lawan dari JHBC Saratok, Jackson Jinggan Willision, manakala Lazelrius Chung Hua Seng akan menguji kemampuan petinju Singapura, Dani Izacc Muhd Faiz, dalam kategori 60kg.
Seterusnya, Mohammad Rozmey Abdullah Roslan akan menentang Daiyan Anaqi dari JAB Sibu bagi kategori 63kg, sebelum Tristan Aeden Minggu turun menentang Abraham Samuel Jerry dari Kelab Tinju Simanggang (KTS) dalam kategori 71kg.
Bagi kategori wanita 63kg, Eurenia Joachin akan berdepan Sendy Alia Dahlim dari KTS, sekali gus dijangka menjadi antara pertarungan hangat yang mencuri perhatian penonton.
Oleh Adi Safarman