
MARUDI: Sebanyak sembilan pasukan merebut gelaran juara dalam Kejohanan Sepak Takraw Tertutup 2025 anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Pemindahan Marudi hari ini.
Kejohanan tersebut dibahagikan kepada dua kumpulan, pertandingan yang dilangsungkan di gelanggang Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Sharif Hamid.
Pasukan yang terlibat ialah Pasukan Bersatu, Pasukan Line Bass, Mudik Spikes, Mira Thunder dan Bomba Fighter 1 dalam kumpulan satu.
Manakala bagi kumpulan dua terdiri daripada Pasukan Libas, Marudi Cops, Likun dan Bomba Fighter 2.
Ketua Masyarakat Melayu Marudi, Pemanca Jamel Haji Sabil mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana memberi peluang kepada peserta yang terlibat untuk menyertai pertandingan ini.
Katanya, sukan merupakan aktiviti yang paling sihat untuk tubuh badan kita.
“Bagi permainan sepak takraw, perkara yang paling utama digunakan ialah di bahagian kaki di mana majoriti kepada kekuatan kita bermula kepada kaki,” katanya.
Katanya, kesihatan kita akan terjejas apabila sudah menjangkau usia tua disebabkan kekurangan aktiviti di kaki.
Jelasnya, walaupun usia kita sudah tua kita harus mengamalkan kesihatan yang sihat dengan bersukan supaya minda dan fizikal sentiasa cedas dan sihat.
Beliau berharap supaya peserta yang terlibat meneruskan aktiviti sukan terutama dalam pertandingan ini dan latihan yang banyak akan membawa kejayaan jika mahu mencapai kemenangan.
Oleh Jiku Jukuong