


ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya sembilan maut manakala seorang kanak-kanak berjaya diselamatkan selepas runtuhan salji menimpa sebuah rumah di Daerah Chitral, Wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan pada Jumaat, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan pegawai.
Jurucakap perkhidmatan menyelamat Rescue 1122, Bilal Faizi berkata kejadian berlaku di kawasan pergunungan di daerah itu apabila salji tebal mencetuskan runtuhan yang menimbus sebuah keluarga seramai 10 orang di bawah timbunan salji dan runtuhan bangunan.
Beliau berkata salji tebal yang berterusan dan keadaan cuaca ekstrem telah meningkatkan risiko runtuhan salji serta insiden serupa di wilayah pergunungan, selain menggesa penduduk supaya mengelakkan perjalanan tidak penting dan kekal berwaspada.
Pasukan Rescue 1122 di Daerah Chitral kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga memandangkan cuaca buruk masih berterusan di rantau berkenaan, kata Faizi.- Bernama-Xinhua