
SRINAGAR, India: Sembilan maut dan 31 cedera apabila bahan letupan yang dirampas meletup secara tidak disengajakan di sebuah balai polis di Kashmir yang ditadbir India, kata polis.
Insiden itu berlaku di Nowgam, dan bahan letupan berkenaan sebelum ini dirampas di Faridabad, Haryana, pada awal minggu hanya beberapa jam sebelum letupan kuat di Delhi yang turut meragut 12 nyawa.
Menurut ketua polis wilayah, Nalin Prabhat, sampel bahan tersebut telah dihantar untuk pemeriksaan forensik sejak Khamis, dan proses itu dijalankan dengan “keberhati-hatian maksimum” berikutan sifatnya yang “tidak stabil dan sensitif”.

“Namun malangnya, dalam proses tersebut (pada Jumaat) sekitar 11.20 malam, satu letupan tidak disengajakan telah berlaku. Sebarang spekulasi lain mengenai punca kejadian ini adalah tidak perlu,” katanya kepada wartawan.
Mangsa termasuk anggota polis, ahli pasukan forensik, dua jurugambar jenayah serta beberapa anggota pentadbiran tempatan.
“Bangunan balai polis mengalami kerosakan teruk dan bangunan bersebelahan turut terjejas,” tambahnya.

Ia merupakan insiden keselamatan paling serius sejak 22 April, ketika 26 orang awam, kebanyakannya Hindu terbunuh di lokasi pelancongan Pahalgam di Kashmir yang ditadbir India, sekali gus mencetuskan ketegangan dengan Pakistan.
Kerajaan India pada Rabu berikrar untuk membawa “pelaku, rakan sekutu dan penaja” letupan kereta maut di pusat ibu kota itu ke muka pengadilan, serta menyifatkan kejadian tersebut sebagai tindakan keganasan. – AFP