

LUNDU: Polis menahan sembilan lelaki tempatan dalam beberapa kes berkaitan dadah hasil Operasi Saringan Khas yang dijalankan di sini dari 25 hingga 27 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Lundu, Superintendan Sudirman Kram berkata, operasi tersebut dilaksanakan oleh pasukan petugas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.
“Dalam tangkapan pertama pada 25 Januari, seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun ditahan di Jalan Blacksmith, Lundu selepas polis menemui sebotol berisi kira kira satu liter cecair yang dipercayai air ketum di dalam bakul motosikal yang ditungganginya,” katanya.

Menurut Sudirman, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah.
Beliau berkata, pada 26 Januari, polis menahan dua lelaki tempatan semasa operasi pemeriksaan di Jalan Melintang, Lundu.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki methamphetamine seberat 0.40 gram. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Menurut Sudirman, siasatan awal mendapati kedua dua suspek mengaku terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak 2023.
Beliau menambah, pada 27 Januari, enam lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 40 tahun ditahan selepas ujian saringan air kencing yang dijalankan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Lundu mendapati mereka positif amphetamine dan methamphetamine.
“Salah seorang daripada suspek turut disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki bahan disyaki methamphetamine seberat kira kira 0.95 gram,” katanya.
Sudirman berkata, kesemua suspek ditahan di lokap Balai Polis Lundu bagi membantu siasatan lanjut. Beliau turut memberi amaran bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan.
Oleh Connie Chieng