
Abang Johari menerima cenderamata daripada ADUN Daro, Safiee Ahmad selepas majlis perasmian Jambatan Batang Lassa, di Daro hari ini.
DARO: Sembilan lagi projek pembinaan jambatan yang giat dilaksanakan di Sarawak dijangka siap dalam tahun ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata ia sebahagian daripada 16 projek pembinaan jambatan yang melibatkan kos RM5.9 bilion, dengan dua projek telah berjaya disiapkan iaitu Jambatan Marudi dan Jambatan Muara Lassa.
“Tiga daripada yang sedang dalam pelaksanaan itu dijadualkan siap pada Mac iaitu Jambatan Rajang, Jambatan Bintulu-Jepak (Jambatan Ikonik Kabel) dan Jambatan Sungai Lingga.
“Selain itu, jambatan lain yang dijangka siap tahun ini termasuk Jambatan Sejingkat, Jambatan Batang Lupar 1, Jambatan Saribas 1, Jambatan Kemena-Sebauh, Jambatan Sungai Limbang, dan Jambatan Sungai Kemena di Sebauh, Bintulu,” katanya ketika berucap pada upacara perasmian Jambatan Batang Lassa, Daro yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini hari ini.
Beliau turut mengumumkan baki lima lagi jambatan dijangka siap pada 2026 iaitu Jambatan Batang Lupar 2, Jambatan Saribas 2, Jambatan Krian, Jambatan Paloh, dan Jambatan Igan.
“Bagi Projek pembinaan Jambatan Rambungan di Kuching pula dijangka siap pada 2027,” tambahnya.
Sementara itu, Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata pada 2027 projek pembinaan jalan pesisir sepanjang 896 kilometer (km) yang menelan belanja RM5.42 bilion juga akan disiapkan.
“Jalan pesisir yang menghubungkan Lundu-Sempadi ke Miri serta melalui kawasan Matu/Daro telah mencapai tahap siap 80 peratus,” katanya.
Selain itu, Jalan Utama Kedua sepanjang 225 km yang menghubungkan Kuching dan Sibu kini mencapai tahap siap 30 peratus dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 2028.
Uggah juga berkata, Sarawak memperuntukkan RM4 bilion untuk skim bekalan elektrik luar bandar, dengan kos berjumlah RM2.4 bilion, manakala liputan telekomunikasi di Sarawak ketika ini mencapai 89 peratus.
“Semua pembangunan ini hanya kerana perpaduan rakyat, sokongan mereka kepada wakil GPS, dan sokongan mereka kepada Abang Johari.
“Mari kita terus menyokong Abang Johari bagi memastikan pembangunan Sarawak dapat diteruskan, membolehkan kita mencapai status wilayah moden dan maju,” katanya.