LUNDU: Sebanyak sembilan kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, manakala Lundu mencatat bacaan sederhana iaitu 99 setakat 12.00 tengah hari.
Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), kawasan yang mencatat bacaan IPU tidak sihat ialah Serian (170), Samarahan (156), Kuching (154), Sri Aman (153), Bintulu (155), Samalaju (152), Sarikei (133), Miri (117) dan Tebedu (116).
Sementara itu, bacaan sederhana direkodkan di Lundu (99), Mukah (95), Sibu (93), ILP Miri (92), Limbang (82), Lubok Antu (75), Kapit (73), Lawas (65) dan Bario (62).

Serian merekodkan bacaan tertinggi iaitu 170, manakala Bario mencatat bacaan terendah dengan 62.
Menurut NREB, bacaan IPU antara 51 hingga 100 dikategorikan sebagai sederhana, manakala bacaan antara 101 hingga 200 berada pada tahap tidak sihat.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar sekiranya keadaan udara bertambah buruk serta mengelakkan pembakaran terbuka yang boleh menyumbang kepada peningkatan pencemaran udara.
Oleh Shikin Mahmud




