
MIRI: Polis menahan sembilan individu disyaki terlibat dalam kes samun berkumpulan di rumah Goodwill Garden, Jalan Sepupok, Batu Niah, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata kejadian berlaku kira-kira 4.48 pagi apabila sekumpulan suspek dipercayai memecah masuk pintu hadapan rumah mangsa ketika mangsa berada di dalam kediaman.
Beliau berkata suspek kemudian memasuki rumah berkenaan sebelum menahan mangsa dan melarikan pelbagai barangan berharga termasuk dua telefon bimbit, satu tablet serta dua bentuk cincin emas.
“Bertindak atas laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri melaksanakan Op Casa dan berjaya menahan lima suspek dalam tempoh kurang 24 jam.
“Tangkapan susulan kemudian dijalankan sehingga membawa kepada penahanan keseluruhan sembilan suspek sepanjang operasi mengesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Farhan, dalam operasi tersebut polis turut merampas satu telefon bimbit dan dua cincin emas yang dipercayai milik mangsa bagi membantu siasatan.
Beliau berkata kesemua suspek terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita tempatan berumur antara 17 hingga 48 tahun kini direman di lokap Balai Polis Pusat Miri.
“Hasil saringan ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa memastikan keselamatan kediaman serta menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.
Oleh Liong Chai Ling