KUCHING: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memperhebatkan usaha membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan dengan harga lebih berpatutan melalui program Semarak Syawal 2025.
Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata di Sarawak, sebanyak 72 lokasi telah dikenal pasti untuk pelaksanaan inisiatif ini, dengan sasaran jualan sebanyak RM5 juta.
Menurut beliau, program ini yang berlangsung mulai hari ini (22 Mac) hingga 30 Mac nanti, menawarkan pelbagai barangan asas dengan harga istimewa.
”Inisiatif ini bukan hanya bertujuan mengurangkan beban pengguna tetapi juga memberi peluang kepada 870 usahawan tempatan di Medan Niaga Satok dan kawasan lain untuk menjana pendapatan lebih baik menjelang perayaan.
“Kita mengalu-alukan orang ramai dari sekitar Kuching dan kawasan berhampiran untuk membeli-belah sambil menyokong perniagaan tempatan. Ini adalah platform terbaik untuk kita berkongsi rezeki bersama usahawan kecil dan peniaga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Semarak Syawal 2025 di Medan Niaga Satok di sini, hari ini.

Sementara itu, kesemua 72 peruncit di Sarawak melibatkan Medan Niaga Satok, dua peruncit pasar tani kekal, pasar tani (11), Agrobazaar Rakyat (21) dan Agrobazaar Kedai Rakyat (37).
Abdul Rashid menambah, program ini turut mempunyai objektif pelaksanaan untuk membantu masyarakat membuat persediaan awal dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan mendapatkan bekalan keperluan harian yang berkualiti dan berpatutan.
”Melalui program ini, ia turut memberi peluang kepada para petani, pengeluar dan usahawan untuk meningkatkan pendapatan melalui penyertaan langsung dalam program ini,” ujarnya.
Pada masa sama, program itu turut menampilkan Jualan Agro MADANI sebagai tarikan utamanya, yang menawarkan harga istimewa seperti RM10 seekor untuk satu metrik tan ayam bulat segar, telur Selenium gred B (RM15 sepapan) serta produk-produk industri asas tani tempatan lain.
Selain itu, majlis perasmian program peringkat kebangsaan akan diadakan pada 29 Mac di Kota Raja, kawasan parlimen Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Oleh Rynna Sha’erra