
PETRA JAYA: Kempen 1Rumah 1Jalur Gemilang perlu dijadikan amalan setiap isi rumah sebagai tanda kebanggaan dan semangat patriotik sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata demikian menerusi ucapannya yang dibacakan oleh Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Irwan Zulkarnain sempena Program JIWA@Komuniti MADANI HKHM 2025 P.194 Petra Jaya di Dewan Masyarakat Kampung Kolong 2, di sini, hari ini.
Menurut beliau, setiap helaian Jalur Gemilang yang berkibar di kawasan perumahan dan kampung akan menjadi bukti nyata kekuatan perpaduan kaum di Sarawak.
“Kibaran bendera di rumah Melayu, Iban, Cina, Bidayuh dan semua kaum di Sarawak menunjukkan bahawa kita adalah satu keluarga Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa semangat patriotisme yang digerakkan melalui komuniti MADANI perlu dipupuk dari akar umbi dengan penglibatan keluarga, jiran tetangga serta pertubuhan masyarakat.
Selain itu, beliau turut menggesa agar setiap komuniti mengadakan aktiviti gotong-royong memasang bendera, pertandingan menghias kediaman bertema patriotik serta memanfaatkan platform media sosial untuk menyemarakkan lagi sambutan.
Katanya, penglibatan aktif rakyat dalam program komuniti sebegini bukan sekadar memeriahkan sambutan, malah memperkukuh nilai Malaysia MADANI yang berteraskan perpaduan, hormat-menghormati dan kebersamaan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak serta komuniti setempat di Tupong, Samariang dan Satok yang memberi kerjasama menjayakan program tersebut.
Program JIWA@Komuniti MADANI HKHM 2025 Petra Jaya turut diserikan dengan kehadiran Konvoi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 yang menjelajah seluruh Sarawak sejak 2 Ogos lalu, termasuk penyertaan konvoi bermotosikal daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan penganjuran di Petra Jaya membuktikan pendekatan dari akar umbi mampu menanam nilai patriotik, sekali gus memperkukuh ikatan perpaduan rakyat berbilang kaum.
Oleh Shikin Mahmud