
BETONG: Kestabilan sesebuah negara bergantung kepada keamanan, perpaduan dan keharmonian yang terjalin dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum, agama mahupun budaya.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, perbezaan yang wujud dalam masyarakat bukan alasan untuk berlakunya perpecahan sebaliknya harus dihargai serta dihormati.
“Perbezaan agama, bangsa, budaya dan bahasa adalah nilai semula jadi yang membentuk keseimbangan pembangunan negara dalam kerangka semangat ta’aruf atau berkenalan. Semangat ini amat penting bagi melahirkan suasana kondusif serta harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Perarakan Maulidur Rasul 1447H Peringkat Bahagian Betong di perkarangan Masjid Jamek Betong, hari ini.
Menurut Razi, tema ‘Ummah Maju Makmur’ jelas menekankan perihal pentingnya perpaduan dalam mencapai kesejahteraan bersama, khususnya di Sarawak.

“Agenda ini penting kerana kita mahu melahirkan generasi Islamik yang dinamik, berdaya saing dan penuh nilai keunggulan. Hanya dengan itu, tamadun Islam dapat terus diperkasa dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Perarakan tersebut menyaksikan penyertaan 21 kontinjen dengan lebih 700 peserta yang berarak sejauh dua kilometer melalui Kampung Melayu Betong.
Bagi pertandingan kategori A (Jabatan Kerajaan/ Badan Berkanun/ Swasta), kontinjen Jabatan Tanah dan Survei Betong muncul juara sekali gus turut memenangi pertandingan sepanduk. Naib juara dimenangi Jabatan Kemas Betong manakala tempat ketiga Majlis Daerah Betong.
Dalam kategori B (Masjid/ Surau/ JKKK/ Persatuan/ Kelab/ Pertubuhan), Kelab Bola Tampar Taman Satria dinobatkan johan, diikuti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Betong di tempat kedua dan Gabungan LKAMB serta JKP Masjid Jamek Betong di tempat ketiga.
Kategori C pula hanya disertai Politeknik Metro Betong Sarawak (PMBS) sekali gus menobatkan mereka sebagai johan. Bagi penilaian sepanduk, naib juara disandang Kelab Bola Tampar Taman Satria manakala tempat ketiga dimenangi Majlis Daerah Betong.
Setiap pemenang menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 (johan), RM700 (naib johan) dan RM500 (tempat ketiga).
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Mohamad Duri, Timbalan Residen Bahagian Betong Hamdan Katang, ketua-ketua jabatan, serta pemimpin masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman