
MIRI: Sempena sambutan Hari Gawai 2025, dua pemimpin negeri iaitu Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin dan Datuk Bandar Miri, Dato Adam Yii Siew Sang telah menghadiri rumah terbuka Pengerusi Persatuan Wanita Orang Ulu Miri (PWOUM), Kijan Toynbee, di kediamannya di Pujut 3B semalam.
Kim Shin mengucapkan Selamat Hari Gawai kepada semua yang meraikannya dan menzahirkan rasa bangga terhadap tradisi rumah terbuka yang diamalkan masyarakat Sarawak.
“Kita di Sarawak mengamalkan tradisi yang sangat istimewa, di mana rumah terbuka menjadi wadah penyatuan rakyat berbilang kaum dan agama. Semangat Segulai Sejalai inilah kekuatan sebenar negeri kita,” ujarnya ketika ditemui media semalam.
Beliau turut berkongsi pengalamannya menyertai sambutan rumah terbuka Gawai di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bersama barisan kepimpinan negeri, yang menurutnya mencerminkan keharmonian dan semangat kekitaan rakyat Sarawak.

Menurut beliau, budaya muhibah ini perlu terus dipupuk, terutamanya dalam kalangan generasi muda demi masa depan Sarawak yang lebih sejahtera dan bersatu.
“Sarawak adalah negeri yang berwarna-warni. Keunikan budaya, kaum dan agama inilah yang menjadikan kita kuat dan berbeza. Ia harus dikekalkan dan dihargai oleh semua lapisan masyarakat,” tambahnya.
Beliau turut memuji dasar kerajaan negeri yang inklusif dan menyeluruh dalam menyantuni semua komuniti tanpa mengira latar belakang, termasuk melalui penubuhan unit khas bagi menyokong pelbagai agama di Sarawak.
Kim Shin tiba seawal 9.00 pagi diikuti ketibaan, Adam Yii sekitar 11.00 pagi yang memeriahkan lagi suasana rumah terbuka, sekali gus mengukuhkan jalinan erat antara pemimpin dan komuniti setempat yang hadir meraikan Hari Gawai dalam suasana harmoni dan penuh mesra.
-UKAS