
SARATOK: Semangat perpaduan dan keharmonian jelas terpancar apabila gabungan pelbagai kaum dalam kalangan ahli Jawatankuasa Sosial dan Kebajikan (JKSK) Taman Seroja Indah berganding bahu menjayakan Program Agihan Bubur Lambuk dan Bubur Pedas, dekat sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, program seumpama itu membuktikan bahawa kepelbagaian kaum dan agama bukanlah penghalang untuk masyarakat hidup dalam suasana harmoni dan saling bekerjasama.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Program Agihan Bubur Lambuk dan Sayur Bubur Pedas anjuran JKSK Taman Seroja Indah yang berlangsung dalam suasana penuh muhibah dan semangat kekitaan.

Menurutnya, penganjuran program tersebut mencerminkan nilai ‘segulai sejalai’ yang menjadi tunjang perpaduan masyarakat di Sarawak, sekali gus memperkukuh hubungan silaturahim antara penduduk setempat.
Program yang bermula seawal jam 8 pagi itu memperlihatkan semangat gotong-royong yang cukup utuh apabila ahli JKSK yang dipengerusikan oleh Lee Chai Teng bersama-sama menyediakan dan memasak bubur lambuk serta bubur pedas untuk diagihkan kepada komuniti.
Kepelbagaian latar belakang kaum dalam jawatankuasa itu tidak membantutkan usaha mereka, malah menjadi pemangkin kepada kerjasama erat demi memastikan program berjalan lancar dan teratur.

“Saya sangat berbesar hati dan memuji semangat segulai sejalai serta kerjasama yang ditunjukkan. Setiap aktiviti dapat dilaksanakan dengan lancar hasil komitmen semua pihak,” katanya.
Beliau bersama wakil Pegawai Daerah Saratok, Pengerusi JKSK Taman Seroja Indah Lee Chai Teng serta ahli jawatankuasa turut turun padang mengagihkan bubur lambuk dan bubur pedas kepada komuniti setempat sekitar 4.30 petang hingga 5.30 petang.
Sebanyak 612 paket bubur lambuk dan bubur pedas berjaya diagihkan kepada penduduk sekitar, sekali gus menceriakan sambutan Ramadan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di kawasan tersebut.
Mohamad Duri turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada JKSK Taman Seroja Indah atas kejayaan menganjurkan program berimpak tinggi itu yang bukan sahaja menyemarakkan Ramadan, malah memperkukuh jalinan perpaduan nasional.
Beliau berharap inisiatif seperti ini akan diteruskan pada masa hadapan sebagai platform memperkasa keharmonian masyarakat dan menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang.
Program berkenaan sekali lagi membuktikan bahawa kekuatan sebenar negara terletak pada perpaduan rakyatnya yang sentiasa bersatu hati dalam menjayakan setiap usaha demi kebaikan bersama.
Oleh Adi Safarman