
MIRI: Semangat persaudaraan dan saling menghormati perlu terus dipupuk dalam kalangan masyarakat berbilang kaum bagi memperkukuh perpaduan serta keharmonian negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata nilai murni tersebut selaras dengan ajaran Islam yang menitikberatkan hubungan baik sesama manusia tanpa mengira latar belakang sekali gus menjadi asas penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu.


“Walaupun masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum, bahasa dan budaya, perbezaan itu bukan penghalang untuk hidup dalam suasana harmoni,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan Hari Raya anjuran Persatuan Melayu Miri (PMM) di sini, hari ini.
Sehubungan dengan itu, Awang Tengah menggesa semua pihak agar terus memainkan peranan dalam memperkukuh nilai perpaduan demi memastikan kestabilan sosial dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
Oleh Liong Chai Ling