
Henry Sum Agong bersama Awangku Jinal Abedin mengetuai nyanyian lagu patriotik Keranamu Malaysia sambil mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh semangat.
LAWAS: Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Pekan Trusan pada Sabtu berlangsung meriah dengan pelbagai acara kebudayaan dan pertandingan yang menghimpunkan masyarakat berbilang kaum, mencerminkan semangat perpaduan serta kekuatan komuniti setempat.
Majlis Perasmian Malam Kebudayaan anjuran Komuniti Bersatu Trusan (KUBU) di Dewan Masyarakat Trusan telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, yang mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Dalam ucapannya, Henry Sum menggesa masyarakat Trusan agar terus memainkan peranan aktif dalam memajukan kawasan mereka.
“Perubahan dan masa depan Trusan bergantung pada semangat orang Trusan sendiri. Jika bukan kita yang berusaha, siapa lagi?” katanya.
Beliau turut mengumumkan beberapa projek pembangunan utama di kawasan itu, termasuk projek Lebuh Raya Pesisir Utara, jambatan baharu di Kuala Lawas serta Jambatan Sungai Trusan Tambahan bagi meningkatkan kapasiti laluan.
Antara projek lain yang diumumkan ialah pembinaan 30 unit kedai baharu, pejabat daerah dan penempatan baharu melibatkan lebih 50 lot, jalan baharu Murud Suang–Long Tengoa, lapangan terbang baharu Lawas yang kini dalam fasa kerja tanah, serta pembinaan jeti di KualaLawas sebagai permulaan kepada pembangunan pelabuhan yang bakal membolehkan kapal laut membawa barangan terus ke Lawas.
Menurut beliau, banyak projek telah diluluskan oleh kerajaan pusat dan negeri demi kesejahteraan rakyat, namun kejayaannya turut bergantung kepada sokongan serta kerjasama masyarakat setempat.
Sementara itu, dalam ucapannya, Awangku Jinal Abedin menjelaskan bahawa nama KUBU diambil daripada sejarah kubu pertahanan zaman British dan Sultan Brunei, ketika Trusan menjadi pusat pentadbiran Daerah Lawas.
Tambahnya, semangat perpaduan tetap menjadi kekuatan utama pekan kecil itu, khususnya dengan pelbagai aktiviti yang diadakan sempena sambutan kali ini, termasuk pertandingan menyumpit, memasak, futsal, tarik tali, dan mewarna, derma darah serta persembahan kebudayaan yang mencerminkan kepelbagaian dan keharmonian masyarakat Trusan.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa serta Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok.
Oleh Adeng Edrus