
SADONG JAYA: Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Samarahan di SMK Sadong Jaya hari ini disifatkan sebagai pengiktirafan terhadap semangat patriotik masyarakat setempat yang sentiasa mendukung aspirasi negara.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, berkata pemilihan sekolah tersebut sebagai lokasi pertama Fasa 4 program berkenaan membuktikan kesungguhan warga Sadong Jaya dalam memartabatkan semangat kebangsaan.
“Walaupun cuaca hujan, kehadiran konvoi hampir 40 orang membuktikan semangat cintakan tanah air tidak mudah luntur.


MESRA... Rodiyah Sapiee bergambar bersama pelajar SMK Sadong Jaya.
“Kembara Merdeka bukan sekadar simbolik, tetapi peringatan bahawa kemerdekaan Sarawak dalam Malaysia membawa harapan besar untuk pembangunan rakyat,” katanya ketika merasmikan program itu.
Beliau turut mengingatkan pelajar agar menjiwai tarikh 16 September 1963 sebagai detik penting kemerdekaan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia, sekali gus menyedari peranan mereka sebagai pewaris perjuangan bangsa.
Rodiyah berkata tema ‘Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni’ amat signifikan kerana mencerminkan komitmen kerajaan dalam membina masyarakat penyayang, inklusif dan berdaya tahan, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
“Malaysia MADANI menekankan pemikiran progresif, integrasi sosial yang menghormati kepelbagaian budaya dan pembangunan ekonomi inklusif.
“Rakyat Disantuni bermakna tiada seorang pun dipinggirkan dalam pembangunan negara, seiring semangat MA63 yang menjamin hak Sarawak dalam Persekutuan Malaysia,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menasihati masyarakat menyahut kempen ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’ bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.
“Apabila setiap rumah dan kampung dihiasi Jalur Gemilang, ia bukan sahaja menghidupkan suasana kemerdekaan, malah mencerminkan kekuatan perpaduan masyarakat,” katanya sambil menegaskan Jalur Gemilang adalah simbol kemerdekaan, kedaulatan dan kesatuan.
Rodiyah turut mengingatkan generasi muda agar melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan nilai jati diri supaya mampu merebut peluang daripada pembangunan besar yang sedang berlangsung.
Beliau menutup ucapannya dengan menggesa rakyat terus menyalakan semangat patriotisme.

“Jangan hanya bertanya apa yang negara beri kepada kita, tetapi tanyalah apa yang boleh kita sumbangkan kepada negara. Marilah kita kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga sebagai tanda kesetiaan kepada Sarawak, Malaysia dan masa depan anak-anak kita,” katanya.
Program hari ini menyaksikan penglibatan warga sekolah, jabatan dan agensi kerajaan, pemimpin masyarakat, ibu bapa serta pertubuhan belia dan persatuan bukan kerajaan (NGO) sebagai tanda kasih kepada tanah air.
Oleh Shahrul Qaizat