
KUCHING: Suasana penuh keakraban dan semangat kebersamaan menyerikan penganjuran Malam Irama Country dan Barat 2025 anjuran Kelab Kebudayaan Padawan Kuching yang diadakan di Restoran Oversea Seafood, Batu 10, semalam.
Majlis berkonsepkan ‘Country dan Barat’ itu bukan sekadar acara santai, tetapi turut membawa mesej mendalam tentang kepedulian sosial, semangat perpaduan serta budaya memberi kembali kepada masyarakat.

Mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Datuk Temenggong Tan Joo Phoi dalam ucapannya berkata, acara seperti itu mencerminkan denyut nadi masyarakat yang penyayang serta bersatu hati dalam membantu golongan memerlukan.
“Malam ini bukan sekadar majlis makan malam. Ia tentang kasih sayang, perkongsian dan kepedulian terhadap sesama manusia. Amal jariah ialah nadi kepada masyarakat yang berperikemanusiaan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Malam Irama Country dan Barat 2025, semalam.

Beliau menambah, sokongan dan sumbangan daripada masyarakat mampu membawa sinar harapan kepada mereka yang memerlukan serta memperkukuh semangat kemasyarakatan di Padawan dan Kuching.
“Acara ini menggambarkan semangat komuniti yang kuat di Padawan dan Kuching, di mana masyarakat berbilang bangsa dan latar belakang bersatu untuk tujuan yang baik. Apabila kita saling mengambil berat, kita membina masyarakat yang lebih kukuh dan bersatu,” ujarnya.
Datuk Temenggong Tan turut memuji peranan aktif pertubuhan bukan kerajaan seperti Kelab Kebudayaan Padawan Kuching yang berperanan sebagai jambatan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.


Hadirin yang hadir memeriahkan suasana pada Malam Irama Country dan Barat 2025, semalam. Foto Adele Rissa
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, para penaja serta tetamu yang hadir atas kejayaan penganjuran majlis berkenaan.
“Semoga semangat perpaduan dan kebaikan ini terus bersinar dalam masyarakat kita. Saya ucapkan tahniah kepada semua atas kejayaan menganjurkan majlis ini,” katanya.
Majlis yang berlangsung dalam suasana santai itu turut dimeriahkan dengan persembahan muzik oleh Kumpulan Hi Breed Band serta tarian oleh Kelab Kebudayaan Padawan Kuching, yang menyerlahkan keharmonian serta keindahan kepelbagaian budaya masyarakat setempat.
Oleh Adele Rissa